Penerbit rancangan RTM didakwa terima RM10,000 - Utusan Malaysia

Penerbit rancangan RTM didakwa terima RM10,000

RTM
SUHAILA Md. Zaini ketika hadir bagi menghadapi pertuduhannya dekat Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang ketua penolong pengarah sebuah stesen televisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerima RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat pada 2018.

Tertuduh, Suhaila Md. Zaini, 44, yang berpakaian hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan, dia sebagai penerbit rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) didakwa menerima wang berjumlah RM10,000 daripada pemilik Syarikat FRZ Production melalui akaun bank miliknya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Taman Sri Gombak, Batu Caves pada 13 Julai 2018.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin kemudian menawarkan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan itu dan memohon penyerahan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam, Gurmit Singh Hullon yang mewakili Suhaila memohon pengurangan kerana anak guamnya turut dijangka didakwa atas pertuduhan lain.

“Selain itu, anak guam saya dijadualkan menunaikan ibadah umrah pada 1 hingga 15 Disember depan. Saya memohon kebenaran pelepasan pasportnya yang sudah diserahkan kepada ejen bagi urusan tersebut,” katanya.

Awang Kerisnada kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bersama seorang penjamin dan melaporkan diri setiap minggu pertama di pejabat SPRM Selangor.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 November ini bagi serahan dokumen pasport tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya