ROMPIN: Penantian 15 tahun seorang bapa untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila menjadi penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Janglau di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bapa terbabit, Hairul Anwar Hashid, 45, berkata, dia kini sudah boleh menarik nafas lega apabila mengenangkan kelima-lima anaknya dapat menetap di rumah yang selesa.
“Saya memang sudah lama mengimpikan untuk memiliki rumah untuk keluarga saya. Boleh dikatakan sejak usia anak saya yang pertama yang kini sudah berusia 15 tahun.
“Memang bersyukur sangat apabila diberitahu kami sekeluarga antara penerima rumah Ru’RASA ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Hairul Anwar berkata, sebelum ini dia terpaksa menumpang di rumah orang tuanya selain turut pernah menyewa di merata tempat.
“Isteri dan anak-anaklah yang paling gembira apabila dapat tahu kami akan menerima rumah ini. Isteri saya sehingga kini masih lagi sebak kerana terlalu gembira. Gembiranya sampai tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Air mata sahaja yang mampu mengalir,” katanya.
Beliau menjunjung kasih dan merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kurniaan terbabit.
“Saya juga berterima kasih kepada semua pimpinan setempat yang banyak membantu saya dalam usaha mendapatkan rumah ini,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Pelaksanaan Ru’RASA dengan kerjasama Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan kerajaan negeri Pahang di daerah ini melibatkan rumah setingkat dan bertiang masing-masing bernilai RM75,000 dan RM100,000 yang dilengkapi tiga bilik.
Difahamkan sebanyak 124 daripada 178 unit rumah Ru’RASA sudah siap dan sedia dihuni penerimanya bagi seluruh negeri ini. –UTUSAN










