KUALA LUMPUR: Isu mabuk seorang menteri kerana minum minuman keras masih belum berhenti apabila berlaku pertikaman lidah di Dewan Rakyat semalam.
Situasi panas itu berlaku antara Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching (PH-Kulai) dan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berhubung isu orang bukan Islam yang meminum minuman beralkohol.
Ia bermula apabila Wan Saiful mempersoal cara Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjawab kritikan terhadapnya yang mabuk dalam acara awam.
Beliau mendakwa, King Sing menimbulkan perpecahan kaum dan agama dalam jawapannya berkenaan isu tersebut di Dewan Rakyat minggu lalu.
“Saya mahu tanya adakah Yang Berhormat (YB) setuju jika rakyat di luar sana katakan dalam melaksana peraturan berkaitan 3R (agama, kaum, institusi diraja) ini, seolah-olah ada berat sebelah di pihak kerajaan.
“Pada masa sama, ada juga menteri contohnya, bila kita cakap salah laku (dan) tata etika minum alkohol di depan khalayak ramai, kita cakap (tentang) etika sebagai menteri (tapi) dia sendiri timbulkan perpecahan kaum dan agama
“Jadi ini sebabkan kerajaan dilihat tidak adil,” katanya dalam soalan tambahan kepada Nie Chieng semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.
Nie Ching mencabar Wan Saiful untuk menunjukkan peraturan yang melarang menteri dan timbalan menteri bukan Islam daripada minum minuman beralkohol.
“Kalau YB rasa seorang bukan Islam minum arak melanggar tata etika, saya rasa Ketua Setiausaha Negara akan beri nasihat kepada menteri berkaitan.
“Mungkin YB boleh bantu saya, mana bahagian dalam tata etika (garis panduan kerajaan) yang nyatakan sebagai seorang menteri atau timbalan menteri, walau kami bukan Islam, kami langsung tidak boleh minum arak?” soalnya.
Wan Saiful kemudian memberitahu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Noor yang beliau mahu merujuk Nie Ching di bawah Peraturan Mesyuarat 36(6) kerana didakwa menimbulkan sangkaan jahat terhadapnya.
Katanya, Nie Chieng membayangkan beliau mempersoal hak orang Islam untuk minum minuman beralkohol.
“Saya bercakap mengenai pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh baik dan tak menunjukkan akhlak buruk di luar. Saya tidak sebut langsung tentang hak orang bukan Islam minum arak (tapi) komen YB seolah-olah mengatakan itulah kenyataan saya. Saya mohon YB tarik balik,” katanya.
Pada 31 Oktober lalu, King Sing meminta pembangkang supaya tidak mempertikai pegangan dan cara hidupnya yang mungkin berbeza dengan orang lain seperti amalan meminum minuman keras sehingga mabuk.
Katanya, pertimbangan benar atau salah dari perspektif penganut agama Islam berbeza dengan dirinya sebagai kaum Cina dan bukan Islam.
Sehubungan itu, katanya, tidak menjadi kesalahan untuknya minum minuman keras sehingga tahap kurang siuman kerana sebagai bukan Islam, dia bebas melakukan apa sahaja.
“Saya bukan orang Islam, saya minum apa salahnya? Saya pergi Pelangai sana (semasa pilihan raya kecil), mereka ajak saya menyertai Festival Tanglung, saya minum, saya bermain dengan budak-budak macam orang ‘gila’, jadi, apa salahnya?
“Ini budaya orang Cina, tiada masalah. Jangan cerita bukan-bukan. Kalau saya orang Islam, saya memang tidak boleh buat macam itu, tapi saya bukan Islam, maka, saya boleh buat,” katanya.
Beliau terdahulu dalam ucapan memetik Ahli Parlimen Masjid Tanah (tidak dinamakan) yang mendakwa beliau mengambil minuman keras sehingga menjadi mabuk. –UTUSAN










