Pemandu, kelindan maut kemalangan tiga kenderaan - Utusan Malaysia

Pemandu, kelindan maut kemalangan tiga kenderaan

ANGGOTA bomba dan polis mengusung mayat salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 11, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Serdang, Dungun, petang tadi. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Seorang pemandu lori dan kelindannya maut manakala tiga individu lain cedera dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 11, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Serdang, di sini, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 3.30 petang, Mohd. Shahrul Hafif Abd. Kadir, 37, dan kelindannya, Ridzuan Mohamad, 43, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua buah lori jenis Hino serta sebuah Proton Wira.

Menurutnya, ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersama rakan sekerja mereka yang menaiki lori sama dipandu Safee Seman, 54, dan kelindannya, Aminuddin Nawi, 50, masing-masing dalam perjalanan menghantar bekalan kayu di Kampung Balai Besar, dekat sini.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu Mohd. Shahrul Hafif dipercayai hilang kawalan dan merempuh belakang lori yang dipandu Safee ketika dikatakan berhenti di sebuah persimpangan untuk keluar ke kanan jalan.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan lori yang dipandu Safee mengelungsur ke depan dan melanggar sebuah kereta Proton Wira yang sedang bergerak terus di laluan utama,” katanya.

Maizura berkata, pelanggaran itu menyebabkan Safee bersama pemandu Proton Wira berusia 31 dan penumpang berusia 27 tahun cedera ringan dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya