Pelukis guna teknik 'air brush' hasil karya tema Palestin

Pelukis zahir solidariti, guna teknik ‘air brush’ hasil karya tema Palestin

MOHD. Rozamil Mohd. Yatim menghasilkan lukisan tema Palestin di sebuah kenderaan di Chendering, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pelukis menggunakan bakatnya dalam teknik lukisan ‘air brush’ untuk menghasilkan pelbagai karya dengan tema Palestin bagi menzahirkan solidariti kepada rakyat yang sedang tertindas di negara itu.

Mohd. Rozamil Mohd. Yatim, 36, berkata, sejak perang tercetus pada 7 Oktober lalu, dia telah menerima tempahan untuk menghasilkan lukisan pada kenderaan dan topi keledar motosikal.

Menurutnya, separuh daripada hasil keuntungan yang diperoleh itu disalurkan kepada tabung kemanusiaan bagi membantu rakyat di Palestin khususnya di Gaza.

“Sebenarnya, hasil karya lukisan Palestin menggunakan teknik ‘air brush’ telah saya mulakan ketika perang berlaku pada tahun 2021 dan ia tular di media sosial.

“Sejak itu, saya banyak menerima tempahan melukis pelbagai karya bertemakan Palestin di kereta, motosikal dan topi keledar daripada penduduk di negara ini sebagai tanda solidariti mereka terhadap rakyat Palestin.

“Antara lukisan yang dihasilkan ialah Masjidil Aqsa, slogan ‘Save Palestin’ dan karikatur pemimpin di negara bergolak itu,” katanya ketika ditemui pemberita di bengkelnya dekat Chendering, di sini semalam.

Teknik ‘air brush’ adalah penghasilan karya menggunakan tekanan udara untuk menyemburkan cat pada medium tertentu yang memaparkan kreativiti pelukisnya.

Mohd. Rozamil yang mula bergiat dalam bidang seni itu sejak tahun 2015 berkata, setiap lukisan di topi keledar dikenakan bayaran RM950 manakala lukisan di kenderaan antara RM1,500 hingga RM2,500 bergantung kepada saiz dan jenis lukisan.

Sementara itu, seorang pemilik kenderaan, Muhd. Kamaruzaman Mahmud, 39, berkata, beliau berharap lukisan bertemakan Palestin yang tertera di Toyota HiAce miliknya dapat menyuntik kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai konflik sebenar antara Palestin dan Israel.

“Ini adalah jihad kecil saya sebagai umat Islam kerana Masjidil Aqsa di Palestin adalah masjid ketiga suci selepas Mekah dan Madinah.

“Ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur baru-baru ini, lukisan bertemakan Palestin di Toyota HiAce ini mendapat perhatian ramai orang, ada yang ambil gambar dan rakamkan video.

“Semoga lebih ramai rakyat Malaysia akan menyokong perjuangan pembebasan Palestin dan terus melakukan pelbagai cara untuk menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN