Peluang Harimau Malaya raih tiket Piala Asia 2027

Peluang Harimau Malaya raih tiket Piala Asia 2027

PEMAIN Harimau Malaya meraikan jaringan Darren Lok menentang Taiwan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Taipei, kelmarin. Malaysia menang 1-0. - IHSAN FLASH SUKAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya kini di landasan terbaik untuk melepasi halangan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas melakar dua kemenangan berturut-turut.

Perkara itu diakui pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan Gon, enam mata maksimum diperoleh daripada dua perlawanan Kumpulan D menyaksikan Malaysia sudah menghampiri sasaran 12 mata untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Sekiranya melepasi peringkat berikutnya, skuad negara akan memperolehi tiket secara automatik ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027.

“Kami tidak boleh mengadu tentang padang kerana kedua-dua pasukan bermain di padang sama. Perkara ini sering terjadi di pelbagai negara dan ini sesuatu yang kami perlu belajar tetapi permainan ini menjadi sukar bukan kerana padang tetapi pemain lawan yang bermain baik.

“Kita akan selamat jika mendapat 12 mata dan kini sudah mendapat enam mata. Perlawanan di tempat lawan sentiasa sukar dan kami perlu lakukan persiapan yang rapi.

“Tahniah kepada rakyat Malaysia kerana kita berjaya menang buat kali pertama di Taipei (Taiwan) dan harap dapat kekalkan prestasi untuk dapatkan enam lagi mata yang akan memastikan kita akan ke pusingan ketiga,” katanya dalam sidang media kelmarin.

Dalam perlawanan kedua itu, skuad Harimau Malaya mengekalkan momentum positif apabila melakar kemenangan 1-0 ke atas Taiwan di Stadium Perbandaran Taipei hasil gol tunggal Darren Lok pada minit ke-72.

Sebelum itu, Malaysia membuka kempen kelayakan dengan kebangkitan luar biasa menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu.

Tambah Pan Gon, mengakui Taiwan memberi tentangan cukup sengit sepanjang perlawanan namun keinginan tinggi yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya menjadi kunci kejayaan membawa pulang tiga mata.

“Perasaan saya sangat gembira kerana sememangnya kita layak untuk menang. Tahniah kepada pemain dan rakyat Malaysia kerana mereka seharusnya bangga dengan Harimau Malaya.

“Kami sudah jangkakan perlawanan sukar kerana pasukan lawan mempunyai semangat melawan tetapi semangat kami lebih dari lawan dan atas sebab itu kami berjaya atasi halangan sukar ini dan menghampiri pusingan seterusnya dan buatkan saya bangga dan hargai usaha para pemain.

“Kehendak pemain untuk menang adalah punca utama kemenangan ini dan bukannya pertukaran yang saya lakukan. Saya dapat lihat sejak dari babak pertama mereka tunjukkan kehendak itu tetapi kurang bernasib baik kerana tidak berjaya menjaringkan gol lebih awal,” ujarnya.

Sementara itu, kekalahan Oman 1-0 di tangan Kyrgyzstan membolehkan Malaysia memimpin Kumpulan D ketika ini.

Dalam perkembangan sama, Pan Gon menegaskan bahawa pasukan Malaysia bukan memiliki ramai pemain naturalisasi, sebaliknya mereka adalah pemain warisan.

“Kami mempunyai ramai pemain warisan. Pemain warisan ini bukan pemain luar negara mereka warganegara Malaysia,” jelasnya selepas beberapa media Taiwan mempertikaikan kehadiran pemain naturalisasi.

Pan Gon hanya menurunkan dua pemain naturalisasi iaitu Paulo Josue dan Endrick dos Santos pada pertengahan babak kedua sahaja, manakala Mohamadou Sumareh sekadar memanaskan bangku simpanan.

Selebihnya adalah gabungan pemain warisan dan tempatan antaranya Dion Cools, Matthew Davies, Corbin Ong, Darren Lok dan lain-lain lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya