Undang-undang antarabangsa diamal secara pilih kasih – Abdul Hadi

Undang-undang antarabangsa diamal secara pilih kasih – Abdul Hadi

ABDUL Hadi Awang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Undang-undang antarabangsa kini dilaksanakan secara pilih kasih, khususnya dalam menangani konflik membabitkan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan negara sekutunya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, institusi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan mahkamah dunia dilihat semakin lemah apabila kuasa besar menentukan pihak yang dianggap benar atau salah.

“Keputusan dan ketetapan badan antarabangsa juga gagal dilaksanakan secara berkesan apabila bertentangan dengan kepentingan negara-negara berpengaruh.

“Maka, berlaku ‘double standard’ dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam Minda Presiden Pas hari ini.

Abdul Hadi berkata, kumpulan yang menentang Israel termasuk Hamas, Hizbullah, Ansarullah dan Iran terus dilabel sebagai pengganas dan pelampau.

Beliau berkata, malah serangan yang menyasarkan orang awam, rumah ibadat, sekolah, hospital, pusat perlindungan dan pasukan bantuan kemanusiaan terus berlaku tanpa tindakan tegas masyarakat antarabangsa.

“Usaha perdamaian dan gencatan senjata didakwa hanya menekan satu pihak supaya melucutkan senjata, sedangkan Israel terus menerima bekalan persenjataan.

“Keadaan itu menyebabkan kekuatan ketenteraan dan tekanan politik menjadi ukuran kepada kebenaran serta keadilan, bukannya prinsip undang-undang antarabangsa,” katanya. 

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Islam mengutamakan perdamaian dan melarang tindakan melampaui batas walaupun ketika berdepan peperangan apabila orang awam termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas tidak boleh dijadikan sasaran, manakala tawanan perang wajib dilayan secara berperikemanusiaan.

“Begitulah sifat tamak dan zalim yang tetap wujud dalam manusia yang bernafsu mengalahkan akal sihat. Manusia tetap mencetuskan peperangan yang wajib dihadapi dengan berhikmah.

“Kekuatan senjata dan paksaan menjadi penentu kebenaran dan keadilan. Semua negara dunia dipaksa menyokong perdamaian yang nyata zalimnya sambil pihak media dipaksa mendukungnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN