BAGAN DATUK: Walaupun kagum dengan perubahan drastik di daerah ini yang semakin menarik terutama Waterfront Bagan Datuk, pelancong kecewa kerana replika kapal yang dikatakan replika sejarah bahtera Sultan Melaka tidak boleh dilawati.
Replika itu yang ‘tersadai’ di Beting Beras Basah di muara Sungai Perak di Waterfront, didakwa ditutup sejak penularan Covid-19, beberapa tahun lalu.
Pelancong dari Singapura, Tan Lai Chong, 47, berkata, dia memang berhasrat naik dan melihat keadaan bahagian atas replika kapal itu, namun tidak kesampaian kerana ditutup.
Katanya, selain itu cat pada replika itu juga sudah pudar.
“Saya datang untuk melihat keindahan suasana pekan Bagan Datuk dan kawasan Waterfront setelah sebuah jambatan dibina menghubungkan pekan Bagan Datuk, memang mudah untuk kami ke sini.
“Pemandangan di Waterfront ini memang cantik, begitu juga Masjid Tuminah Hamidi memang cantik, dari jauh nampak keindahan rekaan dan seni binanya yang mengagumkan apatah lagi ia kelihatan terapung di atas air.
“Namun, kami agak kecewa apabila melihat keadaan replika kapal berkaitan sejarah kesultanan Perak di kawasan waterfront yang pada pandangan saya tidak diurus dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Peniaga air minuman di kawasan Waterfront Bagan Datuk, Sabarudin Saat, 51, berkata, replika kapal itu antara tumpuan utama pelancong yang datang ke situ.
Namun, menurutnya, berikutan replika itu ditutup kepada pelancong, mereka tidak banyak pilihan untuk melawat kawasan itu.
Katanya, pelancong gemar bergambar di replika itu termasuk pelancong asing.
“Pelancong selalu tanya saya kenapa replika kapal ini tidak boleh masuk dan kenapa tutup. Saya pun tidak tahu nak jawab macam mana.
“Setahu saya sejak Covid-19 replika kapal ini sudah ditutup. Ramai pelancong terpusing-pusing di sekitar replika kapal ini untuk mencari pintu masuk untuk naik ke atas kapal.
“Saya berharap pihak yang berkenaan membuka semula replika kapal ini untuk pelancong,” katanya. – UTUSAN










