Pejabat InvestSarawak bakal dibina di Brunei Darussalam dan

Pejabat InvestSarawak bakal dibina di Brunei Darussalam dan Kalimantan Indonesia

ABANG Johari Tun Openg
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sarawak akan menubuhkan dua pejabat InvestSarawak di luar negara masing-masing di negara Brunei Darussalam dan Kalimantan Indonesia.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pejabat itu nanti akan menggalakkan dan memudahkan penyertaan sektor swasta untuk mengembangkan ekonomi pelaburan di negeri ini. 

“Dua pejabat perdagangan dan pelancongan baharu yang serupa dengan Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak Singapura akan ditubuhkan di Brunei dan Kalimantan untuk mempromosikan pelancongan, produk dan perkhidmatan tempatan Sarawak serta yang paling penting untuk menarik pelaburan ke Sarawak.

“Dalam pada masa yang sama, usaha ini bagi menggalakkan penyertaan aktif sektor swasta untuk mengembangkan ekonomi Sarawak dengan menyediakan persekitaran perniagaan yang menggalakkan, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dengan mengurangkan beban kawal selia dan prosedur birokrasi tanpa menjejaskan integriti. 

“Ini akan mengurangkan kos menjalankan perniagaan yang seterusnya akan meningkatkan keuntungan, produktiviti dan daya saing kita,” katanya dalam ucapan penggulungannya di Mesyuarat Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.

InvestSarawak merupakan sebuah agensi sehenti yang akan memudahkan pelaburan di Sarawak. Selain itu, ia juga merupakan sebuah entiti yang akan menerajui hala tuju baharu dalam memacu pelabur tempatan dan asing untuk meningkatkan ekonomi negeri. 

Program ini juga akan bertindak sebagai sebuah pejabat untuk mempromosikan Sarawak secara global ke arah menarik pelaburan langsung asing.

Sementara itu, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Peringkat Negeri Sarawak (Samudah) akan menggalakkan kerjasama erat antara sektor swasta dan awam dari segi proses pengawalseliaan, prosedur dan dasar untuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan.

Sehubungan itu, kerajaan Sarawak komited untuk meningkatkan ketersambungan udara kita dan membuka lebih banyak peluang dalam perdagangan, perniagaan dan pelancongan.

“Melalui usaha menaik taraf MASwings daripada penyedia perkhidmatan udara luar bandar kepada syarikat penerbangan serantau, saya yakin bahawa inisiatif ini akan membolehkan kami mempromosikan Sarawak dengan lebih baik sebagai destinasi premium untuk pelancongan dan perniagaan. 

“Ia sekali gus menjadikan aspirasi Sarawak untuk meningkatkan sektor penerbangan negeri ini ke tahap yang lebih tinggi dan memperluaskan sambungan udara ke negara luar terutamanya Hong Kong, Shenzhen, Singapura, Indonesia dan negara Asia Tenggara yang lain. 

“Justeru, bagi menyediakan perkhidmatan udara yang lebih efisien, Sarawak juga mensasarkan untuk menjadi Hab Penerbangan yang mana bakal memanfaatkan potensi kemudahan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) dan pusat latihan untuk penerbangan di wilayah ini,” tegas Abang Johari.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya