PDRM teliti dokumen kenal pasti aset milik Roger Ng dipercayai diseleweng dana 1MDB - Utusan Malaysia

PDRM teliti dokumen kenal pasti aset milik Roger Ng dipercayai diseleweng dana 1MDB

ROGER Ng (kiri) dibawa pulang ke negara ini bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atasnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti dokumen berkaitan dalam mengenal pasti aset-aset milik Roger Ng dipercayai diseleweng dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak polis melalui Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs berusia 51 tahun itu.

Katanya, pihak polis turut dalam proses meneliti dokumen-dokumen berkaitan diperoleh bagi mengesan semula aset-aset tersebut.

“Kita melihat dia (Roger) sangat memberikan kerjasama kepada pihak polis.

“Buat masa ini kita masih lagi dalam penelitian dokumen-dokumen diperoleh untuk mengesan semula aset-aset,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Tambah Razarudin, pihaknya percaya akan dapat mengesan aset-aset tersebut dipercayai diseleweng hasil 1MDB.

“Kita percaya masih ada lagi, kalau tidak dari Roger mungkin dari rakan sekutu (associate),” katanya.

Pada 10 Oktober lalu, Razarudin mendedahkan siasatan dijalankan pihaknya terhadap Roger tertumpu kepada modus operandi berkaitan penjualan bon dipercayai dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Jelas beliau, siasatan memfokus kepada modus operandi Roger dalam penjualan bon termasuk komisen yang diperoleh.

Pada 7 Oktober lalu, media melaporkan Roger yang sedang menjalani hukuman penjara di Amerika Syarikat (AS) diperintahkan oleh untuk menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS sebelum diserahkan kepada Malaysia untuk menghadapi perbicaraan di negara ini. 

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai status kertas siasatan membabitkan peguam 1MDB, Jasmine Loo, Razarudin berkata, ia masih dalam tindakan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Pada 7 Julai lalu, Razarudin mendedahkan pihaknya telah menahan Jasmine, 49, menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana 1MDB.

Malah PDRM turut menyita dan merampas sebahagian aset hasil penyelewengan 1MDB yang didaftarkan atas nama Jasmine Loo.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, aset itu merangkumi hartanah, akaun bank, lukisan, beg tangan berjenama mewah, jam tangan dan dokumen berkaitan dianggarkan bernilai RM93.2 juta iaitu nilai semasa pembelian dibuat pada 2013. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN