PARLIMEN: Penumpang MYAirline boleh tuntut bayaran balik

PARLIMEN: Penumpang MYAirline boleh tuntut bayaran balik jika perjalanan sudah luput 

ANTHONY Loke menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini. -GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penumpang yang terjejas akibat penggantungan operasi syarikat penerbangan MYAirline boleh menuntut bayaran balik menerusi proses caj balik jika tarikh perjalanan sudah luput.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan jaminan itu selepas berbincang dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom). 

Katanya, penumpang yang terjejas boleh menghubungi pihak MYAirline atau menghubungi pihak bank sendiri. 

“Pihak Mavcom juga mengadakan perbincangan bersama BNM berkenaan isu pembayaran balik kepada pelanggan yang terjejas. 

“BNM mengesahkan, bagi penumpang yang membeli tiket melalui kad kredit, kad debit dan debit terus (FPX) boleh menuntut pembayaran balik melalui proses caj balik jika tarikh perjalanannya luput,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi kementerian itu.

Berdasarkan data terkini diterima daripada MYAirline, seramai 117,461 penumpang akibat penggantungan operasi syarikat itu manakala harga tiket yang dijual sehingga Mac 2024 bernilai RM22,090,184 juta.

Penumpang yang membeli tiket penerbangan bagi tujuh laluan domestik dan dua laluan antarabangsa iaitu Kuala Lumpur-Pulau Pinang, Kuala Lumpur-Kota Bharu, Kuala Lumpur-Langkawi, Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Tawau, Kuala Lumpur-Kuching, Kota Kinabalu-Tawau dan Kuala Lumpur-Suvarnabhumi (Bangkok) dan Kuala Lumpur-Don Mueang (Thailand).

Dalam pada itu, katanya, penumpang yang terjejas hendaklah ditawarkan bayaran balik dalam tempoh 30 hari mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016.  

Katanya, mereka juga layak mendapat tuntutan bagi nilai penuh tiket yang dibayar termasuk cukai dan fi, bagi sebahagian atau mengikut bahagian perjalanan yang tergendala.

“Oleh itu, Mavcom sedang memantau perkembangan semasa berhubung isu itu dan akan memastikan semua aduan serta perkara yang dibangkitkan penumpang terjejas diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Kata Siew Fook, tindakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat MYAirline mulai 16 Oktober lalu bagi membolehkan audit keselamatan terperinci dijalankan untuk menilai semula keupayaan syarikat penerbangan itu.

Katanya, Mavcom mengambil tindakan berasaskan peruntukan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) untuk menilai semula pemberian Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat berkenaan. 

“Ia termasuk mengenakan penalti kewangan sekiranya gagal mematuhi peruntukan perlindungan pengguna sebagaimana yang ditetapkan di bawah MACPC,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN