KUALA LUMPUR: Sistem barter atau amalan urus niaga pertukaran barang dengan barang tanpa menggunakan wang dipercayai langkah berkesan bagi menangani isu penyeludupan barangan rentas sempadan.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, penggunaan sistem barter itu bagaimanapun harus bersekali dengan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan barangan khususnya yang bersubsidi di sempadan Filipina dan Indonesia.
“Macam mana mudah untuk kita menangani penyeludupan? Barter trade lah. Benarkan perdagangan antara Malaysia, Filipina dan Indonesia untuk membolehkan supaya ada ruang.
“Kalau orang dari Filipina mahu beli minyak, gas dari Jakarta…jaraknya jauh. Mahu beli minyak masak dari Manila, ambil masa 20 jam naik kapal.
“Bayangkan kalau ia dibenarkan, sistem barter antara langkah yang boleh diambil kerajaan,” kata bekas Ketua Menteri Sabah itu dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian dalam celahan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) oleh Pemangkunya, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Armizan pula berkata, penguatkuasaan dilakukan oleh kerajaan tidak terhad kepada kawalan harga, perihal dagangan dan barangan kawalan.
Katanya, kerajaan turut melihat aspek kawal selia kartel yang boleh dilakukan dengan memperkasa Akta Persaingan 2010.
“Di sinilah kerangka perundangan yang sepatutnya mengawal selia kartel. Sama ada dalam bentuk penetapan harga, pakatan menetapkan pengeluaran, menetapkan kawasan pasaran begitu juga menipu bidaan perolehan,” katanya. -UTUSAN










