KUALA LUMPUR: Sebanyak 169 tindakan diambil berkaitan kes minyak masak dengan nilai rampasan RM1,855,651 sejak Januari hingga September 2023.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kementerian juga menerima sebanyak 624 kes serahan dari pelbagai agensi yang melibatkan barang kawalan dengan nilai rampasan sebanyak RM34,414,565.19.
“Kementerian sentiasa bekerjasama dengan beberapa agensi penguat kuasa di sempadan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
“Ini bagi memastikan operasi di sempadan negara sentiasa berkesan serta berusaha supaya ketirisan barangan yang dikawal di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dapat diminimumkan.
“Bahagian Penguat kuasa juga mengambil langkah perlu bagi menangani isu manipulasi bekalan dan harga antaranya ialah aktiviti audit di peringkat rantaian bekalan, aktiviti risikan ke atas pihak pengeluar seperti pengilang serta had pembelian,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi kementerian itu dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. -UTUSAN










