SHAH ALAM: Paras air Sungai Klang tinggi serta taburan hujan yang tinggi sejak minggu lalu dipercayai menjadi punca Kampung Bukit Lanchong, di sini dilanda banjir pada Isnin lalu.
Banjir tersebut menyebabkan sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dekat Dewan Camelia, Putera Heights bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat bencana tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Bencana Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, semasa kejadian (Isnin), pintu air di kampung tersebut yang dikawal secara automatik ditutup kerana paras air Sungai Klang lebih tinggi daripada paras air di dalam kawasan Kampung Bukit Lanchong.
“Sistem pam berfungsi secara optimum untuk mengurangkan impak limpahan air ketika kejadian tersebut. Jadi, banjir kilat di Kampung Bukit Lanchong bukannya berlaku disebabkan pintu air di situ gagal berfungsi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan menjelang berlakunya musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Sabtu ini.
Dalam pada itu, Mohd. Najwan memaklumkan kerajaan Selangor melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling akan menghulurkan bantuan wang ihsan kepada ketua keluarga yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Camelia, Putra Heights, iaitu PPS bagi mangsa banjir Kampung Bukit Lanchong.
“Kerajaan Selangor menasihatkan penduduk setempat di kawasan yang berisiko dapat mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.
“Sekiranya diminta berpindah ke PPS yang dibuka di kawasan mereka, saya harap mangsa banjir berlindung di situ terlebih dahulu sementara menunggu banjir surut di kawasan rumah mereka,” ujarnya.
Pada Isnin lalu, sebahagian besar kawasan Kampung Bukit Lanchong dinaiki hingga paras lutut, akibat hujan lebat yang turun di kawasan tersebut lebih sejam.
Semalam (Selasa), seramai 96 orang yang terdiri daripada 20 buah keluarga yang menginap di PPS Dewan Camelia, yang dikawal selia Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor. – UTUSAN










