KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) harus mendesak Israel dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan gesaan itu dalam Sidang Kemuncak Tergempar OIC ke-8 antara Negara-Negara Liga Arab dan Negara-Negara OIC di Riyadh kelmarin.
Beliau berkata, kekejaman yang dilakukan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin perlu dihentikan segera, manakala OIC harus memainkan peranan lebih besar melibatkan isu kemanusiaan sejagat.
Kata Anwar, sudah masanya untuk semua pihak menggunakan kebijaksanaan selain mengajak negara-negara Islam mengambil langkah berani bagi mendepani pembantaian berterusan rejim Israel ke atas Palestin.
“Gencatan senjata mesti segera dimulakan dan koridor serta bantuan kemanusiaan mesti diperhebat, tatkala Gaza menjadi pusara kepada insan yang tidak berdosa akibat kegilaan Israel.
“Saya juga meminta semua negara anggota OIC menyatakan bantahan keras terhadap penempatan haram Israel yang dibina dengan mengusir keluar warga Palestin dan menuntut ia dihentikan.
“Lebih penting adalah menuntut rejim Zionis Israel yang secara terang-terangan mencabuli undang-undang antarabangsa dan melakukan jenayah perang, disiasat dan didakwa menerusi institusi keadilan antarabangsa.
“Di saat genting ini, negara-negara Arab dan Islam perlu bergerak senada dan sederap bagi memperjuang keadilan yang tuntas buat saudara kita di Gaza, ketika negara-negara Barat membuta dan membisu dalam krisis di Palestin,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Sekretariat Agung OIC dan Liga Arab akan memantau pelaksanaan siasatan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan menubuhkan dua unit pemantau khas undang-undang bagi mendokumentasikan jenayah Israel yang dilakukan di Semenanjung Gaza.
Unit itu kemudian akan menyediakan prosiding undang-undang mengenai semua pelanggaran yang dilakukan oleh Israel dan menyerahkan laporan mereka kepada Majlis Liga Arab di peringkat menteri-menteri luar dan majlis menteri-menteri luar OIC.
Laporan berkenaan perlu diserahkan dalam tempoh 15 hari selepas pembentukan unit itu.
Sidang kemuncak itu juga mengutuk tindakan memaksa hampir satu setengah juta rakyat Palestin berpindah dari utara ke selatan Semenanjung Gaza yang merupakan jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva Keempat 1949 dan Protokol 1977.
Terdahulu, sidang kemuncak tergempar itu meluluskan ketetapan menuntut Israel serta-merta menamatkan keganasan di Semenanjung Gaza selain menolak tindakan melancarkan perang atas sebab mempertahankan diri atau bagi mewajarkannya atas apa jua alasan.
Lapor SPA, mesyuarat berkenaan berlangsung di Pusat Konvensyen Raja Abdulaziz di Riyadh, dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.
Sidang kemuncak itu juga menyeru negara anggota OIC dan Liga Arab untuk mengenakan tekanan diplomatik, politik dan undang-undang dan mengambil sebarang tindakan pencegahan untuk menghentikan jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh pihak penceroboh.
Para pemimpin menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengambil keputusan tegas bagi memaksa Israel menghentikan serangan dan melanggar undang-undang antarabangsa.
“Tidak mengambil sebarang tindakan dianggap sebagai bersubahat yang seakan membenarkan Israel untuk meneruskan serangan kejam yang membunuh orang tidak bersalah, kanak-kanak, warga emas dan wanita, serta menyebabkan Gaza hancur dan musnah,” menurut resolusi itu.
Sementara itu, Anwar berlepas dari Riyadh ke Jeddah bagi menunaikan umrah bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semalam.
Beliau semalam berlepas dari Jeddah sebelum ke San Francisco, Amerika Syarikat untuk menyertai Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023.
APEC adalah forum ekonomi serantau yang ditubuh pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik, yang mana tahun ini, ia akan bersidang di San Francisco bermula 11 hingga 17 November ini. – UTUSAN










