Negara Islam perlu henti jual minyak, gas kepada Israel – Tun M

Negara Islam perlu henti jual minyak, gas kepada Israel – Tun M

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengeluar minyak dan gas dari negara-negara Islam diminta tidak lagi membekalkan bahan api itu kepada Israel dan sekutunya termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, gesaan itu penting bagi menekan Israel yang kini rakus mela­ku­kan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Palestin.

Katanya, ketika ini, semua pihak termasuk masyarakat dunia tidak perlu lagi melaungkan retorik, kritikan dan mengecam tindakan Israel.

Sebaliknya, tegas beliau, tindakan fizikal perlu dilakukan segera.

“Ia termasuk sekatan ekonomi, tindakan boikot terhadap produk yang menyokong Israel dan sekatan bekalan minyak dan gas.

“Allah SWT mengurniakan begitu banyak sumber minyak kepada negara-negara Islam tetapi kita boleh nafikan bekalan agar mereka merasai kesannya,” katanya dalam sidang akhbar ‘Hentikan Sekatan Bantuan Kemanusiaan Dunia ke Gaza’ di sini semalam.

Dr. Mahathir berkata, seluruh dunia perlu bersatu dan sepakat untuk melakukan sekatan terhadap Israel dan bukannya hanya mengecam tindakan jenayah mereka sahaja.

Kata beliau, sama ada tindakan (boikot) ini berjaya atau sebaliknya namun, jika ia berjaya dilakukan pada skala global dan tidak mustahil syarikat berkenaan akan bankrap.

Media sebelum ini melaporkan, pemimpin Islam dan Arab mengutuk tindakan tidak bertamadun Israel di Gaza tetapi tidak akan memutuskan sebarang langkah mengenakan apa-apa tindakan ekonomi atau politik, susulan serangan ke atas Hamas.

Sidang Kemuncak Tergempar OIC di Riyadh, kelmarin itu sekali gus menonjolkan perpecahan dalam kalangan pemimpin wilayah Arab dalam menangani krisis yang mungkin akan membabitkan negara lain.

Pada masa sama, pemimpin OIC menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima resolusi yang tegas dan mengikat, untuk menghentikan pencerobohan Israel.

Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir turut mengecam tindakan Amerika Syarikat yang menggunakan kuasa veto untuk menyekat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pengaman.

“Pasukan pengaman bertujuan mengurangkan pembunuhan tetapi di Gaza, AS tidak hantar sebab menggunakan kuasa veto di dalam PBB,” katanya.

Mengulas isu sama, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menegaskan, hanya tindakan kekerasan menggunakan senjata yang boleh memaksa Israel berundur dari Gaza dan kawasan-kawasan yang ditaklukinya dalam peperangan bulan Jun 1967.

Katanya, ini kerana Israel tidak pernah menghiraukan keputusan PBB dan juga OIC berhubung gesaan gencatan senjata bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan segera ke Gaza.

“Kita bersetuju dengan tuntutan (OIC) tersebut, namun kita juga ingin mengingatkan kerajaan Malaysia, pemimpin-pemimpin umat Islam dan pihak-pihak lain yang mana Israel tidak pernah mengenal bahasa rundingan atau diplomasi,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Salim berkata, negara-negara Islam dan bukan Islam yang bersimpati dengan rakyat Palestin mesti membekalkan kelengkapan tentera untuk kumpulan Hamas di Gaza dan untuk rakyat Palestin seluruhnya.

“Ini sebagai menyahut seruan al-Quran supaya disediakan untuk para mujahidin kekuatan ketenteraan semaksimum yang termampu untuk menimbulkan kegerunan di hati pihak musuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×