Musim tengkujuh bermula Sabtu ini - Utusan Malaysia

Musim tengkujuh bermula Sabtu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 11 November ini sehingga Mac tahun depan berkemungkinan membawa empat hingga enam episod hujan lebat sepanjang tempoh tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, dalam fasa awal iaitu pada November ini hingga Januari depan, hujan lebat dijangka berlaku di beberapa negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

Bagaimanapun beliau berkata, jika luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri lain di negara.

“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku secara serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko banjir boleh menjadi lebih ekstrem.

“Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Helmi berkata, pada fasa akhir Monsun Timur Laut iaitu pada Februari hingga Mac 2024, kawasan utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan juga Sabah, Labuan serta utara Sarawak akan mengalami kurang hujan.

“Keadaan cuaca panas dan kering dijangka bermula pada Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba.

“Situasi ini berikutan fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun depan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihan, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan pihaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya