Warga emas gagal selamatkan wang bantuan JKM, duit raya

Warga emas gagal selamatkan wang bantuan JKM, duit raya

SAKEH Daud menunjukkan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Alor Che Ismail, Tumpat, Kelantan malam tadi.-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang warga emas terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan duit raya sebanyak RM1,000 selepas rumahnya di Kampung Alor Che Ismail terbakar malam tadi.

Kejadian pukul 10.30 malam itu menyaksikan mangsa Sakeh Daud, 69, tinggal sehelai sepinggang.

Sakeh berkata, kejadian itu disedari selepas terdengar bunyi letupan kecil dari arah dapur semasa sedang memberi makan kucing peliharaannya di luar rumah.

Menurutnya, dia kemudian terus bergegas masuk bahagian dapur mendapati api sudah marak membakar dinding.

“Saya berusaha memadam kebakaran itu namun gagal kerana api marak dengan begitu cepat. Pada masa sama, saya turut meminta bantuan namun jeritan tidak didengar.

“Bagaimanapun, letupan selepas itu membuatkan anak saudara yang tinggal tidak jauh dari rumah datang membantu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sakeh memberitahu, dia sempat mencapai  telefon yang berada diruang tamu sebelum menyelamatkan diri.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, PBK II  Mohd Zin  Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.52  malam.

Katanya, seramai 17 orang pegawai dan anggota dari tiga  balai bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba, rumah tersebut sudah terbakar 90 peratus. Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN