ICOMSA 2024 tekankan isu sumber marin dan akuakultur

ICOMSA 2024 tekankan isu sumber marin dan akuakultur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persidangan Antarabangsa Sains Marin dan Akuakultur 2024 (ICOMSA) yang dianjurkan Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus menekankan usaha dan kesungguhan penyelidikan dalam memajukan sains marin dan penyelidikan akuakultur.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, UMS akan terus berusaha menyokong kerajaan dalam membuat keputusan berkaitan sains dan hal ehwal marin serta memberikan pendidikan berkualiti tinggi dalam bidang itu.

Katanya, projek penyelidikan yang dijalankan oleh UMS adalah relevan pada masa kini untuk menangani isu-isu antarabangsa seperti pemanasan global dan kesan perubahan iklim kepada alam sekitar dan penduduk dunia.

“Ini termasuklah penyelidikan karbon biru mengenai rumpai laut dan paya bakau yang penting sebagai tempat perlindungan, pembenihan dan makanan untuk ikan, udang dan ketam termasuk spesies komersial.

“Kesan perubahan iklim yang meluas menyebabkan kemerosotan yang signifikan kepada ekosistem laut. Kesannya sudah dirasai oleh mereka yang terlibat bukan sahaja dalam industri perikanan tetapi juga rakyat yang bergantung kepada sumber laut,” ujarnya semasa di Majlis Perasmian ICOMSA 2024 baru-baru ini.

Tambah Kasim, dengan memiliki kemudahan akuakultur terbaik, UMS dapat melatih lebih ramai pelajar dan penyelidik dari dalam dan luar negara dengan menggunakan kemudahan di IPMB seperti hatceri dan inkubator.

“Selain daripada penyelidikan akuakultur, penyelidikan marin juga sangat penting, seperti perikanan, terumbu karang dan pemulihan rumput laut, penubuhan kawasan perlindungan marin, dan pemuliharaan biodiversiti, sejajar dengan matlamat Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu SDG14 mengenai Kehidupan di Bawah Air.

“UMS misalnya sedang melaksanakan beberapa projek pemulihan karang besar yang diterajui WWE-Malaysia bersama Taman-Taman Sabah di Kudat. UMS juga bekerjasama rapat dengan Taman-Taman Sabah dalam penubuhan kawasan perlindungan baru, seperti cadangan kawasan perlindungan marin Teluk Darvel,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi ICOMSA 2024, Dr. Zarina Waheed berkata ICOMSA 2024 menekankan usaha dan kesungguhan penyelidikan dalam memajukan sains marin dan penyelidikan akuakultur yang mampan.

Katanya ia bukan sahaja mengukuhkan strategi pengurusan berasaskan sains yang memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, matlamat 14 mengenai Kehidupan di Bawah Air, tetapi juga mempromosikan matlamat SDG 4 mengenai Pendidikan Berkualiti.

“Dengan mengadaptasi kemajuan dalam teknologi maklumat, para penyelidik telah mempelbagaikan cara untuk mempamerkan penyelidikan melalui pelbagai platform termasuk secara maya dengan penglibatan generasi muda yang akan memikul tanggungjawab masa depan dalam penyelidikan dan pembuat dasar.

“Landskap akademik dan kolaboratif ini menekankan kepentingan acara seperti persidangan yang dianjurkan. Saya percaya persidangan ini berpotensi untuk menarik lebih ramai peserta ke Sabah sekali gus memacu kemajuan substantif dalam sains marin dan akuakultur dalam dunia yang sentiasa berubah,” katanya.

Seramai 154 peserta menyertai persidangan ICOMSA yang berlangsung selama dua hari termasuk peserta antarabangsa dari Indonesia, China, Japan, Korea Selatan dan Rusia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN