UMS, CF Learning meterai kerjasama perluas akses pembelajaran sepanjanghayat

UMS, CF Learning meterai kerjasama perluas akses pembelajaran sepanjang hayat

PERTUKARAN dokumen antara Kasim Mansor dan Grace Chin Lu Na sebagai simbolik kerjasama strategik antara UMS dan CF Learning selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di Kota Kinabalu baru-baru ini..
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersama CF Learning Sdn. Bhd. bagi memperluaskan akses kepada program pembelajaran fleksibel yang memenuhi keperluan industri dan masyarakat.

Melalui kerjasama strategik tersebut UMS dan CF Learning akan membangunkan serta menawarkan pelbagai inisiatif PSH.

Ini termasuk kursus jangka pendek, program peningkatan kemahiran, latihan semula dan mikrokredensial sebagai usaha memenuhi keperluan pembelajaran, peningkatan kompetensi dan pembangunan bakat bagi individu, organisasi serta industri sejajar dengan tuntutan ekonomi dan dunia pekerjaan masa kini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam membangunkan ekosistem pembelajaran yang lebih inklusif, fleksibel dan responsif terhadap perubahan landskap pendidikan serta industri.

Inisiatif tersebut katanya diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat, khususnya golongan belia dan tenaga kerja, untuk meningkatkan kompetensi yang selari dengan kehendak pasaran pekerjaan.

“Kerjasama ini turut memperkukuh kedudukan UMS sebagai institusi pendidikan tinggi yang sentiasa komited menyampaikan ilmu, kepakaran dan penyelesaian pembelajaran yang memberi impak kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Dalam era ini, institusi pengajian tinggi perlu memperkukuh hubungan strategik dengan rakan industri bagi memastikan pembangunan kurikulum dan latihan profesional sentiasa relevan,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian MoA berkenaan di Bangunan Canselori, UMS baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kerjasama yang dimeterai itu bukan sekadar memperluaskan jaringan kolaborasi, malah menjadi platform untuk menggabungkan kepakaran akademik universiti dengan pengalaman serta keperluan sebenar industri.

Pihak UMS juga katanya yakin kerjasama berkenaan akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi yang menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan, pengukuhan kompetensi tenaga kerja dan pembangunan sosioekonomi negara.

Pada majlis tersebut, Kasim mewakili UMS menandatangani dokumen MoA, manakala CF Learning diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Grace Chin Lu Na.

Turut hadir Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Pengarah Pusat Pendidikan Fleksibel UMS (UMSFLEC); Profesor Ts. Sazmal Effendi Arshad dan Pengurus Besar Jetama Water Sdn. Bhd., Profesor Ts. Jude Abel Logijin. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN