Muhyiddin tidak wajar diberi pelepasan pasport secara kekal

Muhyiddin tidak wajar diberi pelepasan pasport secara kekal

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak wajar diberikan pelepasan pasport secara kekal kerana masih terikat dengan tiga tuduhan jenayah selain berisiko melarikan diri ke luar negara.

Timbalan Pendakwa Raya Lim Wai Keong melalui afidavit yang diikrarkan menyatakan, permohonan beliau agar pasportnya dilepaskan tanpa syarat tidak harus dibenarkan berikutan tiga tuduhan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan lebih RM200 juta yang dihadapinya.

Meskipun pertuduhan berkaitan kesalahan predikat melibatkan salah guna kuasa yang dihadapi oleh Muhyiddin, 76, telah dibatalkan, rayuan pendakwaan masih belum didengar di Mahkamah Rayuan yang mana prosiding dijadualkan pada 28 dan 29 Februari 2024.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan menyatakan syarat-syarat jaminan tambahan iaitu penyerahan pasport tidak wajar diubah bagi memastikan kehadiran Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu ke mahkamah.

Wai Keong mengikrarkan afidavit itu pada 1 November lalu bagi membalas afidavit sokongan terhadap permohonan Muhyiddin untuk mengubah syarat jaminan agar pasportnya yang kini disimpan oleh mahkamah, dilepas tanpa syarat.

Menurut afidavit itu, pertuduhan predikat terhadap Muhyiddin adalah serius dan berkaitan dengan pertuduhan AMLA.

Wai Keong berpendirian, pihak pendakwaan berpendirian bahawa tuduhan pengubahan wang haram itu boleh berdiri sendiri meskipun pertuduhan predikat telah dibatalkan.

Beliau selanjutnya menyatakan, Muhyiddin sepatutnya mengemukakan permohonan pelepasan pasport daripada semasa ke semasa jika beliau perlu ke luar negara.

Pada 25 Oktober lalu, pihak pendakwaan mengemukakan bantahan terhadap permohonan  Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan semula pasportnya yang kini ditahan oleh Mahkamah Sesyen di sini ekoran pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Hakim Azura Alwi menetapkan 23 November ini bagi pendengaran permohonan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi mendapat pelepasan sementara pasportnya.

Presiden Bersatu itu memohon mendapatkan semula pasport bagi membolehkan beliau bercuti bersama keluarga di luar negara.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau kebiasaannya membawa keluarga bercuti selama sebulan setiap tahun.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perancangan untuk bercuti tahun ini tidak terkecuali dan ingin membawa keluarganya ke London, United Kingdom (UK), pada akhir tahun.

Selain itu, Muhyiddin menyatakan hasrat untuk ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Beliau percaya bahawa Hospital Mount Elizabeth ada teknologi canggih bagi membolehkannya membuat pemeriksaan jantung tanpa ujian stres jantung atas ‘treadmill’ atau pengisar injakan.

“Ujian stres jantung memerlukan saya untuk berjalan atau berlari di mesin berkenaan, sesuatu yang amat sukar.

“Beberapa tahun lalu, saya menjalani ujian stres jantung tanpa ‘treadmill’ di Klinik Mayo di Amerika Syarikat (AS).

“Saya dinasihatkan oleh doktor bahawa Hospital Mount Elizabeth ada rawatan dan peralatan diagnostik seperti mana yang saya lakukan di Klinik Mayo, oleh itu saya berniat ke Singapura,” katanya.

Muhyiddin menegaskan dirinya tiada risiko untuk melarikan diri berdasarkan beberapa sebab termasuk memegang jawatan penting.

“Saya juga perlu menghadiri sesi Parlimen jika bersidang, selain ada ahli keluarga dan aset di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya