Jumpa Zahid, cuba pecahkan parti punca dipecat Bersatu

Jumpa Zahid, cuba pecahkan parti punca dipecat Bersatu

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertemuan rahsia dengan pihak lawan dan cubaan merosak serta memecah-belahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi sebab utama pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesalahan paling serius apabila Hamzah mengadakan pertemuan rahsia dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk berunding tanpa pengetahuan atau kebenaran Bersatu.

Katanya, kesalahan-kesalahan sedemikian menyebabkan Lembaga Disiplin mengambil tindakan drastik untuk menge­lakkan isu sama berterusan.

“Dia telah melakukan banyak kesilapan dan ia bertimbun. Itulah sebabnya dia dibawa ke Lembaga Disiplin. Saya rasa tidak wajar untuk memperincikannya (dan menyenaraikannya) satu persatu kerana sudah ada keputusan, atas dasar yang kukuh tentang mengapa tindakan itu diambil.

“Jika saya ingin menjelaskan, satu contoh apabila Ahmad Zahid pernah membuat kenyataan dalam satu perhimpunan yang telah beliau (Hamzah) temui dan rundingkan dengan Pas dan Bersatu.

“Ada yang mengaitkannya dengan ‘Langkah Bangkok’ atau sesuatu seperti itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Muhyiddin berkata, beliau telah bertanya mengenai pertemuan dengan Ahmad Zahid melalui kumpulan aplikasi sembang, namun tidak menerima sebarang jawapan.

“Saya bertanya, siapa yang bertemu Zahid? Siapa yang bertemu Zahid? Tiada jawapan tetapi saya mempunyai maklumat yang sah (bahawa) Hamzah bertemu Ahmad Zahid.

“Dalam parti kami, ini adalah isu besar dan perlu ada disiplin,” katanya.

Muhyiddin berkata, isu pe­mecatan Hamzah bersama beberapa pemimpin Bersatu lain yang mempersoalkan kepemimpinannya bukanlah perkara utama.

“Ini menyentuh isu-isu ber­kaitan perlembagaan parti, menyebabkan pergolakan dalam parti, merenggangkan hubu­ngan antara kepimpinan di peringkat tertinggi hingga ke akar umbi dan langkah-langkah yang boleh dianggap sebagai ancaman.

“Dia tidak boleh berpura-pura mengikut telunjuk sesiapa tanpa mandat dan tanpa kebenaran atau kelulusan daripada majoriti. Jika ia untuk kebaikan parti, beritahu saya sebagai Presiden, kerana ini bukan perkara kecil.

“Nampaknya dia mempunyai rancangan untuk membentuk gabungan, di mana dia kemudiannya menjadi TPM (Timbalan Perdana Menteri) manakala seorang lagi pemimpin akan memegang jawatan tertinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN