Menjiwai keluarga madani

Menjiwai keluarga madani

SAMBUTAN Bulan Keluarga Kebangsaan pada tahun ini bertemakan Keluarga Harmoni, Negara Madani yang menerapkan elemen kasih dan perpaduan negara. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI perspektif Islam, perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW. Islam sangat menitikberatkan kepentingan nasab keturunan. Perkahwinan merupakan ikatan bagi menentukan dan menjaga nasab keturunan manusia. Daripada perkahwinan, terbentuknya keluarga dan seterusnya masyarakat bernegara.

Keluarga yang bahagia dan bertakwa menjadi tujuan utama dalam Islam. Untuk membina sebuah masyarakat yang harmoni dan madani, ia perlu dibentuk daripada keluarga bahagia dan bertakwa. Firman Allah SWT bermaksud, “Jagalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka.” (Surah at-Tahrim ayat 6)

Keluarga bahagia dilengkapi dengan nilai murni, pendidikan, bimbingan serta pembentukan sahsiah yang cemerlang pada setiap ahli. Ibu bapa mesti menjadi suri teladan kepada anak-anak sejak kecil lagi supaya meningkat dewasa kelak mereka akan mengisi keperluan sebuah negara yang madani.

Bulan Keluarga Kebangsaan disambut pada November setiap tahun, kali ini bertemakan Keluarga Harmoni, Negara Madani, ia menerapkan elemen kasih madani dan perpaduan negara.

Sambutan ini antara lain bertujuan menggembleng peranan dan komitmen semua pihak terhadap usaha dalam perpaduan negara bagi memupuk nilai murni selari dengan jajaran nilai teras Malaysia Madani.

Sambutan kali ini memfokuskan kepada lima teras keluarga bahagia:

KASIH SAYANG

Berdasarkan surah Maryam ayat 96, “Sesungguhnya orang beriman dan beramal soleh, Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya, menanamkan dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.”

Ayat ini menjelaskan bahawa kasih sayang yang dituntut oleh Islam berpaksikan kepada keimanan. Sifat kasih sayang merupakan fitrah semula jadi yang Allah SWT kurniakan dalam naluri insan. Naluri kasih sayang ini memainkan peranan besar dalam hubungan kekeluargaan khususnya kepada suami isteri, seterusnya dalam kalangan anak-anak, adik-beradik untuk membina sebuah keluarga bahagia. Malahan dalam hubungan kemasyarakatan, kasih sayang sesama jiran dan sahabat handai pastinya menyemai sifat saling menghormati dan saling membantu antara satu sama lain.

AKHLAK

Akhlak merupakan elemen sangat penting dalam Islam. Bahkan Islam meletakkannya sebagai asas utama selepas akidah dan ibadah. Pembentukan akhlak yang baik seperti hormat-menghormati, tolong-menolong, jujur, amanah, bertanggungjawab dan adil haruslah menjadi amalan dalam keluarga. Ibu bapa perlu bertanggungjawab untuk memberi bimbingan kepada anak-anak. Contohnya, menghormati ahli keluarga yang lebih tua, sentiasa jujur dengan ahli keluarga, suka tolong menolong dan pengamalan sifat-sifat mahmudah dalam institusi keluarga.

Saidatina ‘Aisyah r.a meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya).” (Hadis Riwayat Al-Tirmidzi)

SIHAT DAN SELAMAT

Sunnah Rasulullah SAW bukan sahaja perkara berkaitan ibadah, tetapi gaya hidup sihat baginda juga adalah sunnah kepada kita semua sebagai umat. Banyak kisah dan pesanan baginda yang menyentuh aspek kesihatan. Tingginya kedudukan urusan menjaga kesihatan dapat dilihat melalui penyenaraian keutamaan yang meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat kedua selepas keyakinan (iman). Ibnu Majah ada meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda,

“Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik daripada kesihatan selepas keyakinan (iman).”

Firman Allah SWT dalam ayat 195, surah Al-Baqarah memperingatkan kita bahawa seorang mukmin, tidak hanya bergantung kepada ibadahnya semata-mata seperti berzikir, bersedekah dan sebagainya. Namun, seseorang mukmin itu juga sentiasa prihatin dan berhati-hati terhadap perkara-perkara yang boleh memudaratkan dan mengancam keselamatan diri dan ahli keluarganya.

ILMU

Penguasaan ilmu juga menjadi jaminan utama bagi pembangunan bangsa yang dihormati kerana berperanan besar dalam kehidupan manusia. Bahkan al-Quran sendiri diturunkan berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Dengan ilmu, Allah mengangkat darjat seseorang hamba-Nya untuk mendapat kemuliaan, kehormatan, ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan ganjaran di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan. (Riwayat Ibn Adiyy, Al-Bayhaqi & Al-Tabarani).

Dalam institusi keluarga, ibu bapa perlu menjadi penggerak kepada tradisi ilmu dan amal. Ibu bapa perlu menjadi teladan kepada anak-anak tentang kepentingan cintakan ilmu dan beramal dengan sebaik mungkin serta meninggalkan segala keburukan. Justeru, orang Islam yang berilmu haruslah bertindak sesuai dengan ilmunya dalam proses bertakwa kepada Allah SWT.

HARMONI

Setiap ahli keluarga bertanggungjawab untuk saling mewujudkan mahabbah dan mawaddah dalam keluarga. Sikap bertoleransi dan bertolak ansur serta saling berkomunikasi menjadi asas utama dalam hubungan di antara ahli keluarga.

Justeru, setiap ahli keluarga yang mendambakan keluarga harmoni perlu memahami dan memikul tanggungjawab dan peranan masing-masing seperti peringatan Rasulullah SAW melalui hadis riwayat Iman An-Nasai’ daripada Abdullah bin ‘Amru r.a bermaksud, “Seorang lelaki datang berjumpa Nabi SAW dan berkata: Sesungguhnya aku datang untuk menyatakan taat setia kepadamu untuk berhijrah. Dan aku meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan mereka menangis. Nabi SAW bersabda: Pulanglah kepada mereka dan gembirakanlah mereka, sepertimana engkau membuat mereka menangis.”

Komunikasi dan interaksi yang harmoni antara generasi dan komuniti dapat meningkatkan kesejahteraan, mempunyai objektif yang jelas untuk dicapai sama ada secara individu atau bersama, optimistik dan mempunyai keyakinan terhadap satu sama lain, sentiasa bersyukur dan sebagainya. Keharmonian sesebuah keluarga itu akan tercapai apabila semua ahli keluarga sama-sama berusaha mewujudkan persekitaran keluarga yang harmoni.

Konsep negara madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri memfokuskan untuk melahirkan dan memampan nilai individu dan masyarakat bagi mencapai kesejahteraan dan kemakmuran. Begitu juga dalam institusi kekeluargaan, sebagaimana pentingnya nilai insan itu seharusnya bermula dari rumah, begitulah jua pentingnya kesejahteraan perlu wujud dalam setiap unit keluarga.

Semoga keharmonian keluarga akan terus terjalin dan institusi keluarga terus diperkukuh untuk mengatasi segala cabaran, khususnya dalam perpaduan masyarakat dan pembangunan negara. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×