KUALA LUMPUR : Lebih 100 pengamal media berhimpun di Dataran Merdeka hari ini bagi menunjukkan sokongan terhadap wartawan di Gaza yang bertaruh nyawa untuk menyampaikan maklumat mengenai kekejaman rejim Zionis Israel di Palestin.
Perhimpunan aman “Save Press 4 Gaza” (SP4G) telah disertai 25 kelab Media Malaysia antaranya iaitu National Union Journalist (NUJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm), Crime Journalist Association (CIJA) dan Foreign Correspondents Club Malaysia yang memenuhi Dataran seawal 11 pagi.
Jurucakap SP4G, Sarien Nafis berkata, lebih daripada 40 pengamal media telah terkorban akibat tindakan terkutuk Israel di Gaza dalam tempoh enam minggu.
Kata beliau,keluarga mereka turut menjadi sasaran Israel dengan mereka di bom dan dibunuh dengan kejam sebagai tanda amaran kepada pengamal media agar tidak menyebarkan kebenaran yang berlaku.
“Jadi kami sebulat suara berdiri di sini utk mengecam tindakan kejam Israel ke atas pengamal-pengamal media di Gaza, keluarga mereka serta seluruh anak-anak kecil dan penduduk Palestin yang tidak berdosa.
“Kami menggesa pengamal media seluruh dunia bangkit bersuara menentang keganasan Israel dan menunjukkan sokongan kepada media di Gaza yg perjuangan mereka tidak sia-sia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata beliau, Media Malaysia menyokong penuh dan ingin meniup semangat kepada pengamal media di sana untuk terus membuat liputan bagi menyebarkan kebenaran kepada dunia.
Beliau turut menggesa agar media barat menyampaikan berita yang benar dan tepat mengenai serangan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Tugas media adalah untuk menyampaikan cerita yang betul bukan penipuan dengan pelbagai propaganda,” jelasnya.
Dalam pada itu, Setiausaha CiJA, Hafidzul Hilmi Mohd Noor, menegaskan pengamal meria perlu menegakkan prinsip kebebasan akhbar dan memupuk landskap media global yang menghargai kebenaran dan keadilan.
“Diharap dengan himpunan pagi ini dapat memberi sokongan kepada rakan kita (media) dia Gaza untuk terus bertahan dalam memperjuangkan kebenaran.
“Diharap suara kami hari ini sampai kepada mereka dan seluruh negara agar kita dapat bersama-sama menentang kezaliman dan pembunuhan beramai-ramai di Palestin,” katanya. –UTUSAN