KUBANG PASU: Anak sulung pasangan suami isteri yang meninggal dunia dalam nahas di Sungai Korok bersama empat adiknya memilih untuk tinggal dengan ibu saudaranya di Taman Seri Aman, Jitra di sini.
Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, yang kini yatim piatu akan tinggal bersama adik perempuan arwah bapanya iaitu Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, selepas berbincang dengan keluarga.
Nur Adliah berkata, keputusan itu dibuat oleh Putri Qisya sendiri yang selama ini turut memanggilnya sebagai ‘mama’.
“Insya-Allah Qisya akan tinggal di sini sebab lebih mudah untuk uruskan pendidikan dia. Kami tanya Qisya sendiri dan serah kepada dia untuk buat keputusan kerana mahu pastikan dia selesa,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Katanya, dia juga memang mahu menjaga Putri Qisya kerana berpegang teguh kepada pesanan abangnya yang mahu dia menjaga anak-anaknya jika berlaku apa-apa kepada dirinya.
“Selain itu, tok umi (nenek Putri Qisya sebelah ibu) juga sudah mula berniaga semula, tetapi saya akan kerap membawa Qisya ke sana untuk bertemu keluarga sebelah arwah uminya,” katanya.
Nur Adliah juga akan menguruskan anak saudaranya itu terutama segala keperluan persekolahan diurus dengan baik.
Katanya, Putri Qisya yang masih bercuti juga akan menghabiskan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak Baru di Alor Setar.
“Selepas ini, kalau ikut niat Qisya, dia berminat masuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebab mahu penuhi impian arwah umi dan walid dia. Dulu arwah kakak ipar sering minta saya ingatkan dia jika permohonan MRSM dibuka, takut terlepas,” jelasnya.
Sementara itu, keadaan emosi Putri Qisya kini semakin baik, namun Nur Adliah Syuhada masih tidak membiarkan dia bersendirian dan akan menemani kanak-kanak itu tidur.
Dalam kejadian Isnin lalu, pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, ditemukan lemas di Sungai Korok bersama empat anak mereka. – UTUSAN











