PETALING JAYA: Sebanyak 883 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar bermula 1 Julai hingga semalam.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, jumlah itu membabitkan 763 notis terhadap bas ekspres dan persiaran manakala 120 lagi dikenakan pada kenderaan barangan.
Katanya, daripada jumlah terbabit, sebanyak 28 notis dikeluarkan terhadap pemandu bas ekspres manakala 14 lagi pada pemandu bas persiaran dan 110 notis untuk pemandu kenderaan barangan.
Selain itu, katanya sebanyak 10 notis dikeluarkan JPJ di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan iaitu berkaitan kesalahan melanggar peraturan.
“Sebanyak 619 notis dikenakan penumpang ekspres, 92 bas persiaran dan 10 kelindan kenderaan barangan manakala 10 lagi notis dikeluarkan kepada bas ekspres yang tidak memasang tali pinggang keledar.
“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 28,309 kenderaan yang diperiksa membabitkan 4,490 bas ekspres, 1,789 bas ekspres dan 22,030 lagi adalah kenderaan barangan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 528 bas dan 3,191 kenderaan barangan diambil tindakan gagal memakai tali pinggang keledar,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Penguatkuasaan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum tahun 2020 diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar.
Selain itu, pemandu perlu memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak dan mereka yang ingkar akan dikenakan saman sebanyak RM300. – UTUSAN











