MBPG pertimbang kenaikan cukai harta 40 hingga 50 %

MBPG pertimbang kenaikan cukai harta 40 hingga 50 %

MOHD Amin (duduk tengah) menunjukkan siaran akhbar mengenai kesediaan MBPG pertimbang kadar cukai harta di Menara Aqabah, Pasir Gudang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Majlis Ban­daraya Pasir Gudang (MBPG) sedia mempertimbang kadar kenaikan cukai harta yang dicadangkan naik antara 40 sehingga 50 peratus bermula tahun depan.

Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd. Amin Ahmad menggesa pemilik harta di Pasir Gudang hendaklah mengemukakan bantahan secara bertulis sehingga Selasa ini, sebelum mesyuarat khas diadakan bagi membincang dan memutuskan kadar yang akan dipersetujui nanti.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya hanya menerima bantahan secara rasmi sebanyak 1,300 pemegang harta sahaja keseluruhan 98,490 individu.

“Ketika sesi libat membabitkan ahli majlis di zon masing-masing, ramai pemegang harta yang menyuarakan bantahan namun ia dibuat secara lisan sahaja. Justeru, kita sarankan mereka membuat bantahan secara formal.

“Kita cadangkan kenaikan 20 peratus setahun dalam tempoh lima tahun ini. Umum sedia maklum bahawa, kali terakhir cukai harta dinaikkan di Johor adalah pada 2013.

“Secara amalannya, cukai ini sepatutnya disemak semula setiap lima tahun, namun pada 2018 ia tidak berlaku atas sebab-sebab tertentu. Pada tahun ini, ia disemak semula,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MBPG, Menara Aqabah, di sini semalam.

Ahad lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membantah rancangan MBPG untuk menaikkan cukai pintu sehingga kira-kira 40 peratus yang bermula tahun depan.
Hassan menegaskan, tindakan itu akan membuatkan rakyat di daerah ini bertambah marah malah semakin beban selepas MBPG memutuskan untuk menguat kuasa tindakan saman kenderaan di parkir di luar pagar rumah juga pada tahun depan.

Mengulas lanjut, Mohd. Amin berkata, Ahli-ahli Majlis MBPG mengambil maklum keluhan majoriti masyarakat bandar raya ini membantah Notis Senarai Nilaian Baru yang diedar kepada penduduk pada 26 Oktober lalu.

Katanya, sebelum kertas cadangan menaikkan cukai harta itu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk kelulusan, beberapa siri mesyuarat diadakan antara Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan Datuk Bandar, Datuk Asman Shah Abd. Rahman.

“Pendirian Ahli-ahli Majis dalam siri-siri mesyuarat berkenaan adalah tetap dan selari ia­itu kenaikan cukai harta mestilah pada kadar munasabah dan tidak membebankan,” katanya.

Katanya, ramai membantah apabila kertas cadangan ber­kenaan dibentangkan dalam MMK, malah ada juga yang mengatakan barisan Ahli-ahli Majis MBPG tidak peka dan sensitif dengan keadaan ekonomi yang kini sangat menekan.

Jelasnya, kenaikan tersebut dibuat mengikut nilai hartanah semasa di setiap kawasan dan pada masa sama diharap memberi situasi menang-menang kepada semua pihak.

“Dengan kaedah ini, MBPG dapat menambah pendapatan dan meningkatkan perkhidmatannya, masyarakat pula tidak akan merasai kenaikan cukai yang mengejut dan mendadak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN