Masjid Diraja Sultan Suleiman kekalkan pengaruh seni bina British

Masjid Diraja Sultan Suleiman kekalkan pengaruh seni bina British

MASJID Diraja Sultan Suleiman terletak di Jalan Kota Raja, Kampung Jawa, Klang. -UTUSAN/SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID Diraja Sultan Suleiman, Klang antara puluhan masjid di Selangor yang kekal utuh pada usianya yang menjangkau 90 tahun. 

Seni binaanya yang bercirikan Moghul dengan pengaruh seni bina Islam Moorish dan Inggeris yang direka khas oleh arkitek, L. Keste Ven menjadikan ia lain daripada yang lain. 

Dibina pada tahun 1932, batu asasnya diletakkan oleh Sultan Selangor kelima, Almarhum Sultan Sir Alauddin Sulaiman Shah (1898-1938) sambil disaksikan oleh Setiausaha Agong Tanah Melayu, Sir Laurence Peel dan Residen British di Selangor, J.Lornie. 

Maka tidak hairanlah apabila hiasan dalamannya bagaikan gereja lama. 

Pengurus masjid itu, Muhammad Syafiq Suhiman berkata, mimbar yang dibuat daripada kayu cengal dan chandeliar antara elemen indah ada di situ. 

“Cermin berwarna-warni yang boleh dilihat di bahagian atas kubah masjid, antara unsur pengaruh barat yang kekal sehingga kini. 

“Batu-bata dan marmar diimport dari Turki menjadikan pengudaraan dalam masjid nyaman dan menenangkan,” katanya. 

Kubah masjid berbentuk separuh bulatan berwarna kuning telur, menangkap pandangan. 

Ia dikelilingi kubah lebih kecil berwarna putih.

Memetik Arkib Negara Malaysia, nama sebenar masjid ini ialah Masjid Sultan Suleiman Jamiur Rahman iaitu mengambil sempena nama Sultan Sir Alauddin Sulaiman Shah yang disempurnakan pada 11 September 1934. 

Ia merupakan hadiah kerajaan British kepada baginda pada abad ke-19. 

MAKAM DIRAJA KLANG

Rumah Allah yang terletak bersebelahan Makam Diraja Klang sebenarnya dibina sempena pengisytiharan Klang sebagai pusat pentadbiran negeri Selangor, ketika itu. 

Sebelum Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dibina, masjid yang boleh menampung 1,000 jemaah pada satu-satu masa ini diiktiraf sebagai masjid negeri Selangor. 

Kebiasaannya, Sultan Selangor akan mencemar duli bersolat bersama rakyat jelata pada hari Jumaat dan kemudian menziarahi pusara keluarga yang bersemadi di situ. 

Makam Diraja menempatkan pusara Sultan Alauddin, Sultan Hisamuddin Alam Shah dan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, manakala, Tengku Ampuan atau Permaisuri yang dimakamkan di sini ialah Tengku Permaisuri Mastura, Tengku Ampuan Jemaah dan Tengku Ampuan Rahimah. 

Masjid dikategorikan sebagai masjid pengurusan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ini ditunjangi oleh lima imam dan enam bilal. 

KONSERVASI 

Lapan tahun lalu, masjid yang digazetkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) menjalani projek konservasi. 

Kerja-kerja pemuliharaan bangunan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dengan kos sebanyak RM12 juta. 

Proses konservasi bermula dari 2015 hingga 2017 itu masih mengekalkan keaslian seni bina asal masjid berkenaan dan dibuka semula kepada orang ramai pada 3 November 2017. 

Sepanjang proses konservasi, beberapa proses penambahbaikan dilakukan antaranya cucian permukaan mural, rawatan pengukuhan mural dan mengecat beberapa bahagian masjid termasuk di ruang solat utama.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya