Masjid Bukit Jelutong tonjol seni bina Asia Barat, tradisi Melayu

Masjid Diraja Bukit Jelutong tonjol seni bina Asia Barat, tradisi Melayu

MASJID tersergam indah ini dibina dengan kos RM25.5 juta siap sepenuhnya pada 16 Mac 2013.-UTUSAN/SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELANGKAH masuk ke pekarangan Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam mengingatkan kita kepada seni bina Asia Barat. 

Rasa damai dan tenang hadir ketika memijak permaidani merah di ruang solat utama. Terpegun mata kala melihat corak dinding batu berukir bermotifkan songket Melayu. 

Pelan susun aturnya memperlihatkan segala kemudahan ditempatkan dengan betul bagi menghasilkan ruang dalaman yang memberi kesan pengalaman mengingatkan kita kepada tujuan kehidupan iaitu beribadah kepada Allah SWT. 

Pengurus masjid itu, Abas Mohamad Yusof berkata, masjid ini dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon Masjid dan Zon Pusat Komuniti. 

Namun begitu, kedua-dua zon ini tiada batasan jelas, lebih-lebih lagi apabila ruang yang menghubungkan keduadua zon ini boleh digunakan untuk ruang solat limpah. 

“Sebelum pembinaan masjid ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan reka bentuknya dibina dan dihiaskan dengan elemen seni bina masjid seperti kubah, menara, gerbang dan taman dalaman,” katanya. 

Kubah masjid terletak di tengah-tengah dewan solat utama, mempunyai ketinggian kira-kira 43 meter dari aras tanah. 

Lebar kubah 14 meter dengan ketinggian 22 meter itu dikelilingi empat menara berketinggian 57 meter. 

 

“Kubah masjid direka bentuk berdasarkan bentuk kubah dari masjid di Asia Barat. Begitu juga gerbang dan arca yang banyak menghiasi ruang dalaman masjid,” ujarnya. 

ELEMEN MELAYU 

Mimbar masjid mempunyai reka bentuk tradisi mimbarmimbar lama dari Mesir dan Turki yang dihasilkan daripada kayu cengal. Ia diukir oleh pengukir perabot tradisional, Ismail Mohamed dari Kelantan. 

Mimbar ini mempunyai corak geometri Islam yang menggambarkan keseimbangan ciri-ciri Islam bersama tradisi Melayu. 

Terdapat ciri-ciri tempatan yang jelas dapat dilihat di dewan solat utama. Antaranya, pintu ukir berbingkai kayu cengal, penghadang serami yang dibuat daripada kayu merawan, pintu kaca, corak permaidani songket dan corak dinding batu berukir. 

“Ini membuktikan terdapat keseimbangan dengan adanya gabungan elemen-elemen tradisi tempatan serta elemen Asia Barat yang menghiasi masjid ini,” kata Abas yang turut bertugas sebagai imam. 

SEDEKAD BEROPERASI 

Masjid dinamakan sempena nenda Sultan Sharafuddin ini, dibina melalui pembiayaan Wakaf Khas Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Kerajaan Negeri Selangor, Sime Darby Property Berhad dan ahli kariah. 

Berkeluasan 2.07 hektar, ia boleh menampung kira-kira 4,000 jemaah pada satu-satu masa. 

Ia dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bilik nikah, perpustakaan dan kemudahan wifi.

FUNGSI KETIKA BENCANA 

Masjid ini turut memainkan peranan penting ketika banjir kilat, dua tahun lalu. 

Insiden yang menyebabkan ramai pengguna terkandas berdekatan Plaza Tol Bukit Jelutong pada 2021, menjadikan masjid ini sebagai tempat berteduh bagi orang ramai termasuk yang bukan beragama Islam. 

Susulan paras air yang meningkat di kawasan sekitar ketika itu, pihak masjid berjaya menampung 500 penduduk yang terkandas selama dua hari, dengan turut menyediakan bantuan makanan. 

“Apabila mengetahui ramai orang terkandas, ahli jawatankuasa masjid dan ahli kariah membuat hebahan melalui WhatsApp supaya mereka boleh berlindung di kawasan masjid. 

“Alhamdulillah, kita mempunyai dewan serbaguna yang besar serta ruang terbuka lain yang menempatkan orang ramai bersama anak-anak mereka,” katanya. 

PUSAT DIALISIS 

Rumah Allah yang tersergam indah ini juga mempunyai fungsi tersendiri kerana menempatkan Pusat Dialisis Majlis Agama Islam (MAIS) cawangan Bukit Jelutong. 

Katanya, kemudahan yang beroperasi seawal pukul 6 pagi hingga 8 malam itu hasil titah baginda sewaktu pembinaannya, 13 tahun lalu. 

“Pusat ini mula ditubuhkan pada 2016 dan diurus selia oleh Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE). 

“Pesakit terdiri daripada golongan asnaf yang mendapat bantuan zakat sepenuhnya,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya