KANGAR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan meneliti keperluan bagi menaikkan biasiswa pelajarnya selaras dengan keadaan semasa pada ketika ini.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, menerusi lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke United Kingdom dan Jerman baru-baru ini, beliau telah mengarahkan agar pihaknya menilai perkara itu secara serius.
Menurutnya, pelaksanaan tersebut seharusnya diteliti sebaiknya berikutan ia akan melibatkan implikasi kewangan kepada Mara dan kerajaan.
“Peruntukan yang akan diberikan melalui biasiswa ini datang dari kerajaan namun sudah tentu dengan arahan Timbalan Perdana Menteri, ia menunjukkan keprihatinan beliau di mana Mara mesti melakukan sesuatu (berhubung kenaikan biasiswa ini),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara Petronas (Pump) di Utan Aji, di sini, hari ini.
Asyraf berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Mara mempunyai perancangan bagi menaikkan kadar biasiswa pelajarnya susulan kenaikan kos sara hidup pada ketika ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Asyraf berkata, pihaknya juga akan memastikan isu melibatkan keselamatan di fasiliti Mara akan dapat ditangani dengan sebaiknya susulan daripada dakwaan pencerobohan yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang, baru-baru ini.
“Saya amat prihatin dan mengambil berat dengan isu yang dibangkitkan bahkan setiap aduan dikemukakan sama ada melalui laman sosial ada kalanya akan dijawab sendiri oleh saya.
“Oleh itu saya beri jaminan apa jua isu berlaku di MRSM, kita tidak akan sorokkannya dan pastikan ia ditangani dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan kegusaran ibu bapa yang mendakwa sekolah berasrama itu yang menempatkan pelajar perempuan telah menjadi sasaran penceroboh.
Selain diceroboh, terdapat juga dakwaan mengatakan pelajar wanita sekolah itu pernah diraba dan dicabul oleh individu tidak dikenali di lokasi sama.-UTUSAN










