WANITA Timur khususnya wanita di negara ini masih terbelenggu dengan rasa malu untuk membicarakan mengenai masalah berkaitan hubungan kelamin berbanding wanita di negara barat.
Ini menyebabkan masalah dihadapi terus terpendam dalam ruang kamar kerana jika didedahkan, ia boleh dianggap mengaibkan suami dan secara tidak langsung meretakkan ikatan perkahwinan.
Pakar Psikiatrik, Dr. Hatta Sidi berkata, masalah ketidakpuasan dalam hubungan kelamin tidak sepatutnya dibiarkan sendirian kerana ia boleh meninggalkan beban ke atas emosi pasangan.
“Sebagai isteri, mereka berhak mendapatkan kepuasan dalam hubungan intim. Bagaimanapun, ramai isteri tidak dapat meluahkan emosi ditanggung demi kedamaian rumahtangga.
“Bagi lelaki, hal sedemikian tidak boleh dibicarakan secara terbuka kerana boleh menjejaskan harga diri mereka dan secara tidak sedar boleh menyebabkan masalah mental seperti keresahan atau anxiety,” katanya pada sesi Perbincangan Kesihatan Lelaki anjuran Alpro Pharmacy dan syarikat penjagaan kesihatan Viatris, baru-baru ini.
Panel lain ialah Pakar Bedah Urologi, Dr. George Lee Eng dan Pakar Farmasi, Then Ru Luen.

Ahli panel mengulas mengenai hasil tinjauan dijalankan Alpro Pharmacy yang mendapati 78.6 peratus daripada 345 lelaki mengakui mengalami kesukaran mengekalkan ereksi ketika melakukan hubungan kelamin.
Tinjauan itu turut mendedahkan trend membimbangkan apabila kebanyakan masalah itu dialami lelaki muda iaitu 40 tahun ke bawah berbanding lelaki lebih berusia.
Hasil kajian yang mengejutkan ini mungkin berkaitan dengan penemuan Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, yang mendapati kira-kira 47 peratus lelaki berusia 18 tahun ke atas yang aktif dalam seks mengalami Disfungsi Erektil (ED).
Dr. Hatta berkata, kebanyakan pasangan suami isteri enggan membincangkan mengenai kedinginan hubungan intim mereka alami.
Mengelakkan perselisihan, pasangan lebih rela mengelak hubungan intim dengan masuk tidur lebih
awal.
“Hubungan seksual boleh menjadi semakin tawar apabila ia tidak dihangatkan. Semuanya sama saja dan tiada sebarang rangsangan baharu.
“Justeru sangat penting bagi pasangan menghangatkan hubungan dan menjalin hubungan lebih romantik.
“Masalah yang membabitkan lebih ramai lelaki lebih muda ini perlu dipandang serius kerana berkemungkinan ia berkaitan faktor stres disebabkan kesesakan jalan raya atau faktor lain,” katanya.
Tambah beliau lagi, ini kerana masalah ini juga boleh menjejaskan tahap kesuburan rakyat yang didedahkan Jabatan Perangkaan semakin merosot, iaitu 1.6 anak bagi setiap perempuan berusia
15 hingga 49 tahun.
PETANDA AWAL PENYAKIT KRONIK
Sementara itu, Dr. George berkata, hasil tinjauan itu agak mengejutkan apabila responden lelaki mengakui sukar melakukan hubungan intim dengan sempurna atau
normal.
“Peratusan itu, ia agak mengejutkan dan boleh dianggap sebagai tsunami masalah kegagalan ereksi (ED) kerana ramai lelaki muda di negara ini mengalami masalah berkenaan.
“Biarpun jumlah 345 itu tidak mewakili keseluruhan rakyat Malaysia, bagaimanapun, kita berharap lebih ramai lelaki tampil mendapatkan rawatan jika mengalami masalah ini,” katanya.
Masalah ED juga berkemungkinan adalah petanda awal akibat tahap kesihatan yang buruk.
Ada banyak penyumbang kepada masalah ED, antaranya obesiti atau berat badan berlebihan.
“Gaya hidup kurang sihat seperti kurang bersenam dan diet tidak sihat menyebabkan ramai mengalami hipertensi atau tekanan darah tinggi, diabetes dan kesihatan mental. Banyak data menunjukkan ED
juga boleh disebabkan masalah kemurungan atau depresi.
“Salur darah ke zakar sebenarnya adalah salur darah sama yang membekalkan darah ke jantung. Jadi, sekiranya salur darah ini tersumbat atau terganggu, organ lain seperti zakar juga akan terkesan,” katanya.
Ubat-ubatan yang dimakan juga boleh menyumbangkan masalah ED.
Justeru, beliau mengingatkan supaya rawatan tidak hanya tertumpu kepada mengatasi masalah ED semata-mata tetapi penyakit kronik lain.
RAWATAN TRADISIONAL
Hasil tinjauan itu adalah petanda awal menunjukkan semakin ramai lelaki muda bakal mengalami masalah lebih serius seperti mati pucuk.
Then Ru Luen berkata, daripada sembilan lelaki yang aktif seks, 47.1 peratus mengalami kegagalan ereksi ringan.
“Mungkin lebih ramai mengalami ED tetapi tidak tahu di mana nak dapatkan bantuan.
“Mereka mungkin pergi ke farmasi untuk mendapatkan bantuan dan ubat-ubatan bagi mengatasi masalah dihadapi. Sesetengahnya dibelenggu rasa malu untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Tambah beliau lagi, masih ramai lelaki yang mengalami masalah ED memilih untuk menggunakan rawatan tradisional berbanding rawatan moden.
Bagaimanapun, banyak ubat tradisional berasaskan herba dijual di pasaran tetapi apa yang menjadi persoalannya, adakah ubat-ubat berkenaan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
“Ubat tradisional atau herba yang tidak berdaftar mungkin mengandungi bahan tidak selamat untuk digunakan. Masalah ED kini boleh dirawat dengan tablet yang mengandungi sidenafil.
“Sekiranya pesakit makan ubat-ubat tradisional tidak berdaftar dan pada masa yang sama makan tablet sidenafil, dos dimakan boleh menjadi berganda dan membahayakan,” katanya.
Beliau menasihatkan pesakit untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan selain menjalani gaya hidup sihat dan diet seimbang bagi mencegah masalah ED.
PLATFORM BANTU PESAKIT
Bagi membantu pesakit mengatasi masalah kesihatan, Farmasi Alpro dan Viatris membangunkan Alpro Telekonsult Kesihatan Lelaki.
Ia adalah platform khusus bertujuan meningkatkan keyakinan dan prestasi lelaki dengan menawarkan
panduan pakar.
Ketua Ahli Farmasi Alpro, Lim En-Ni berkata penubuhan itu bermatlamat untuk membentuk satu ruang selamat untuk individu.
“Mereka boleh mencari penyelesaian bagi masalah kesihatan dihadapi bermula daripada kesihatan seksual sehingga ke masalah keturunan lelaki.
“Majoriti responden menunjukkan mereka bersedia mendapatkan pandangan daripada profesional penjagaan kesihatan dan menyesuaikan gaya hidup mereka untuk kesejahteraan
lebih baik,” katanya.
Alpro Telekonsult Kesihatan Lelaki boleh diakses setiap hari dari 9 pagi hingga 10 malam melalui WhatsApp +6019-7021923 atau https://www. alpropharmacy.com/services/mens-health-teleconsult/. – UTUSAN










