KUALA LUMPUR: Sebanyak 29.7 peratus kanak-kanak di negara ini mengalami masalah bantut disebabkan cara pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.
Lebih mengejutkan, Putrajaya merekodkan nisbah tertinggi kanak-kanak mengalami masalah itu selain Kelantan dan ia tidak terhad kepada mana-mana kumpulan seperti golongan berpendapatan rendah (B40) atau berpendapatan tinggi (T20).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kanak-kanak yang tergolong dalam rekod berkenaan dalam lingkungan umur antara sifar hingga empat tahun, yang mengalami pertumbuhan terbantut akibat kekurangan nutrisi.
“Mereka yang berpendapatan tinggi lebih fokus kepada kerjaya, menyebabkan tidak mempunyai masa untuk memasak di rumah, sebaliknya memilih makanan segera, tetapi kurang berkhasiat.
“Sementara mereka yang berpendapatan rendah cenderung memilih makanan yang lebih murah dan kurang berkhasiat kerana sumber kewangan yang terhad dan keadaan itu diburukkan lagi dengan peningkatan kos sara hidup sejak beberapa tahun lalu,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad [PH-Kuala Selangor] mengenai sejauh mana ukuran kumpulan yang agak terpinggir supaya kerajaan dapat menangani masalah bantut dengan baik.
Dalam pada itu, Lukanisman berkata, masalah kanak-kanak bantut kerana tidak mendapat nutrisi secukupnya membimbangkan ekoran semakin ramai ibu bapa memilih membeli makanan murah.
Bukan itu sahaja, katanya, ibu hamil juga tidak mengambil nutrisi yang baik dan dari situ memberi kesan terhadap bayi dilahirkan sehingga ada yang terbantut tumbesaran.
Selain itu, katanya, keengganan mengikut jadual rawatan dan menganggap kanak-kanak gempal sebagai comel juga menyumbang kepada masalah bantut.
“Saya juga agak bimbang dengan keadaan harga, kos kehidupan yang semakin meningkat seperti barang keperluan yang membabitkan nutrisi, harganya meningkat.
“Ini akan menyebabkan ibu bapa memilih untuk mendapatkan makanan yang murah, dan ibu sedang hamil juga tidak mengambil nutrisi yang terbaik bagi memastikan anak dilahirkan dengan sihat serta tidak bantut,” katanya.
Menurut beliau, bantut memberi kesan agak besar dan kumpulan tersebut terdedah dengan penyakit seperti obesiti seterusnya menyebabkan produktiviti tumbesaran anak-anak berkenaan terjejas.
Kata Lukanisman, jika kumpulan kanak-kanak ramai yang terbantut, produktiviti negara pada masa akan datang juga akan terjejas.
Beliau turut mendedahkan ada pengusaha kantin di sekolah tertentu yang menyediakan menu sosej dan nasi melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) menyaksikan murid berkenaan sepatutnya disajikan makanan berkhasiat.
Dalam pada itu, katanya, kementerian akan mengambil pendekatan menyeluruh untuk menangani isu itu termasuk menjalin kerjasama lanjut antara Kementerian Kesihatan dengan beberapa kementerian lain serta pihak berkepentingan.
Ini termasuk perbincangan lanjut dalam kementerian melalui Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malnutrisi Dalam Kalangan Kanak-Kanak, yang dipengerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Kami sedang meneliti kerjasama erat dengan banyak institusi tempatan, pakar, persatuan dan badan antarabangsa seperti Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) untuk menangani isu itu sebelum ia menjadi lebih teruk.
“Kementerian berharap dapat membangunkan rancangan dan aktiviti komprehensif yang akan meningkatkan mutu pemakanan makanan untuk kanak-kanak dan meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai isu ini,” katanya. – UTUSAN
Info
- Bantut ditakrifkan sebagai ketinggian yang lebih dua sisihan piawai daripada ketinggian purata.
- Risiko terbantut pula mempunyai ketinggian antara satu dan dua sisihan piawai daripada purata.
- Pada usia 5 tahun, kanak-kanak sepatutnya mencapai 60 peratus daripada ketinggian dewasa mereka.
- Mereka tidak mencapai puncak pertumbuhan sepatutnya iaitu 15 ke 20 peratus hampir dengan potensi ketinggian dewasa mereka.
Punca utama bantut
- Pemakanan kurang zat.
- Kurang tidur atau tidur terganggu tengah malam.
- Gaya hidup tidak aktif seperti kurang senaman, kecenderungan untuk duduk dan bermain alat elektronik. – UTUSAN










