PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berjaya menangguhkan pembayaran ganti rugi RM2 juta kepada syarikat e-dagang, MonSpace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Jessy Lai kerana memfitnah mereka selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.
Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, peguam, Datuk S.N. Nair yang mewakili Lip Eng memaklumkan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said bahawa kedua-dua pihak juga mencapai persetujuan bahawa pembayaran ganti rugi bertarikh 16 Mac lalu digantung sementara menunggu rayuan anak guamnya selesai.
Turut bersidang ialah Hakim-Hakim Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Wong Kian Kheong.
“Pihak-pihak terlibat juga bersetuju bahawa perayu (Lip Eng) harus mendepositkan jumlah penghakiman RM2 juta ke dalam akaun klien di atas nama peguam cara responden-responden iaitu Tetuan A.J. Ariffin, Yeo & Harpal sebagai pemegang taruh sehingga pelupusan rayuan dan jumlah itu akan diletakkan di dalam satu akaun simpanan tetap,” kata Nair.
Peguam Datuk Harpal Singh Grewal yang mewakili MonSpace dan Lai mengesahkan perkara itu.
Pada 22 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Lip Eng untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi itu atas alasan tiada keadaan khas untuk membenarkan penangguhan tersebut.
Pada 16 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Lip Eng membayar RM2 juta kepada syarikat dan Lai selepas membenarkan saman fitnah mereka. Ahli parti DAP itu juga diperintah untuk membuat permohonan maaf kepada kedua-dua entiti tersebut.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas mendapati Lip Eng yang dinamakan sebagai defendan memfitnah dan mencemarkan nama baik syarikat itu dan Lai.
Hakim itu ketika membaca penghakimannya menyatakan, Lip Eng tidak menafikan bahawa beliau membuat kenyataan fitnah tersebut dan adalah jelas daripada kenyataan yang dibuat, ia merujuk kepada kedua-dua plaintif.
Selain ganti rugi RM2 juta dan permohonan maaf tersebut, Hakim Akhtar turut memerintahkan Lip Eng untuk membayar kos sebanyak RM250,000.
Lai dan MonSpace (plaintif pertama dan kedua) memfailkan saman terhadap Lip Eng pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan memfitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahass Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur dari negara China.
Lai berkata, Lip Eng membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.
Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengambil tindakan terhadapnya. -UTUSAN