Lelaki Pakistan tiada lesen pandu lori ke Johor

Lelaki Pakistan tiada lesen pandu lori ke Johor

LELAKI warga Pakistan yang ditahan kerana membawa lori pengangkut tanpa lesen memandu dalam Op Patuh Bersepadu di R&R Gurun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Seorang lelaki Pakistan yang ditahan kerana memandu lori pengangkut tanpa lesen sah memberikan pelbagai alasan termasuk baru pertama kali memandu kerana menggantikan pemandu asal yang cuti sakit.

Malah, lelaki berusia 36 tahun yang ditahan dalam Op Patuh Bersepadu 2023 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun itu menyatakan dia hanya memandu pada jarak yang dekat.

Namun, siasatan lanjut mendapati dia bukan sahaja memandu kenderaan itu tanpa cukai jalan dan perlindungan insuran yang tamat tempoh tetapi dalam perjalanan dari Alor Setar ke Johor.

Selepas ditahan, dia yang memasuki negara ini lebih 12 tahun lalu dan fasih berbahasa Melayu mengaku telah beberapa kali memandu pelbagai jenis kenderaan milik syarikat tempat dia bekerja yang menjalankan kerja-kerja kontrak.

“Kali ini saya tak bernasib baik apabila ditahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tidak mempunyai laluan alternatif untuk melarikan diri. Saya akui tiada lesen memandu yang sah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kenderaan terbabit disita untuk siasatan lanjut dan lelaki itu dikenakan saman di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim berkata, terdapat rakyat tempatan yang turut menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing demi mengejar untung lumayan tanpa menyedari risiko menanti.

Katanya, pemilik dan pemandu warga asing yang ditahan juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26 akta terbabit termasuk kompaun antara RM100 hingga RM250 untuk motosikal dan RM150 hingga RM300 bagi kenderaan lebih 250cc selain disita.

“Motosikal adalah kenderaan paling banyak ditahan kerana ditunggang warga asing dan antara alasan yang sering diberikan adalah memudahkan mereka berulang alik ke tempat kerja.

“Semakan juga mendapati pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) antara paling ramai terlibat dalam sewa kenderaan ini selain warga Bangladesh dan Pakistan,” katanya.

Aman Shah berkata, bermula 1 November lalu, pihaknya melakukan Op Patuh Bersepadu dengan mensasarkan pemandu warga asing, operasi perkhidmatan barangan (PKB) dan perkhidmatan awam, operasi lebuhraya dan Op Teknikal.

“Operasi ini bertujuan memaksimumkan pematuhan piawaian standard teknikal dan keselamatan kenderaan yang digunakan bagi mengurangkan kematian nahas jalan raya serta membudayakan pematuhan undang-undang.

“Sebanyak 780 kenderaan diperiksa dengan 112 daripadanya diambil tindakan membabitkan 138 saman atas pelbagai kesalahan,” katanya. –UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.