PETALING JAYA: Polis menahan lelaki warga Australia yang dipercayai dalam video tular kencing di parkir sebuah pasar raya di Subang Jaya di sini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya, hari ini.
“Hasil semakan mendapati lelaki tersebut merupakan warga Australia dan datang ke negara ini bagi tujuan melawat keluarganya.
“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah, namun, akan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, polis mengesan lelaki dalam video tular dikesan kencing di tiang di sebuah pasar raya di Subang Jaya baru-baru.
Ini susulan laporan diterima selepas berkenaan video tular berdurasi 50 saat itu menunjukkan seorang lelaki sedang kencing di tiang tempat letak kenderaan pasar raya terbabit pada Ahad lalu.
Wan Azlan dilaporkan berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada 16 November lalu melibatkan suspek disyaki lelaki memakai baju warna hitam dan seluar pendek warna kelabu kencing di tepi tiang tempat letak kenderaan seterusnya beredar ke arah kereta Mazda warna biru.
“Kejadian itu berlaku di sebuah pasar raya yang terletak di Subang Jaya.
“Di dalam rakaman video itu, terdapat perbualan di antara perakam dengan suspek yang mengatakan terdapat tandas dan suspek hanya menjawab minta maaf seterusnya beredar,” katanya.
Wan Azlan berkata, kes diklasifikasikan sebagai kelakuan aib mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan kecil 1955 (Akta 336).-UTUSAN










