KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 20.336 kilogram (kg) dengan nilai dianggarkan lebih RM1.2 juta.
Pengarah JKDM Sarawak, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan itu dilakukan pada 3 November lalu.
“Rampasan dilakukan ekoran sebuah bagasi yang tidak dituntut disita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).
“Bagasi itu tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” jelasnya di sini hari ini.
Sehubungan itu, JKDM Sarawak kini sedang mengesan pemilik bagasi tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Pada hari yang sama juga, katanya, dua lelaki tempatan turut ditahan di LTAK kerana membawa dua bagasi yang menunjukkan tanda positif bahan narkotik.
“Pemeriksaan mendapati penemuan 14 paket yang mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 14.178 kg yang bernilai RM497,600.
“Suspek yang masing-masing berumur 28 dan 32 tahun itu dipercayai mengambil upah sebagai ‘rider’ untuk membawa dadah berkenaan ke sini,” tambahnya lagi.
Susulan itu, Mahkamah Majistret Kuching mengeluarkan perintah reman selama lima hari bermula 4 November lepas terhadap kedua-dua suspek.
“Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh, dianggarkan 70,890 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.
“Suspek menggunakan modus operandi sama bagi kedua-dua cubaan menyeludup masuk dadah itu iaitu dengan dibungkus menggunakan bungkusan serbuk minuman dan cetakan imej ikan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Untuk rekod, kata Ahmad Taufik, sejak Januari hingga Oktober 2023, JKDM Sarawak merekodkan rampasan 212.446 kg pelbagai jenis dadah bernilai RM4,655,854.-UTUSAN










