Lapan barang disenarai di bawah SHMMP Deepavali - Utusan Malaysia

Lapan barang disenarai di bawah SHMMP Deepavali

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Lapan barangan termasuk bawang merah besar import dan cili merah disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia berkuat kuasa selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November ini.

Katanya, lapan barangan itu adalah sebagai tambahan kepada barangan kawalan sedia ada seperti telur, gula, minyak masak dan tepung gandum.

“Lapan barangan yang disenaraikan adalah bawang merah besar import, bawang mereka kecil (India) tidak termasuk ros, cili merah dan daging kambing biri-biri bertulang import.

“Selain itu kelapa biji (harga maksimum pada peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum pada peringkat runcit sahaja) dan tomato,” katanya ketika mengumumkan SHMMP Deepavali 2023 di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengagihkan bantuan bakul Rahmah kepada 40 peserta di Pertubuhan Kebajikan Jayaa Sri bersempena musim perayaan Deepavali.

Turut hadir Timbalan Menteri, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzah.

Menurut Armizan, lapan barangan di bawah SHMMP akan diletakkan pelekat berwarna merah jambu dan tindakan bakal diambil bagi mana-mana individu atau syarikat yang melanggar peraturan.

Katanya, senarai barangan harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan faktor ekonomi global.

Katanya, penentuan harga dibuat dengan mengambil kira daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri.

SHMMP Deepavali 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Deepavali 2023 di peringkat pemborong dan peruncit boleh semak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN