KUALA LUMPUR: Seorang penjaga rumah kebajikan dipenjara 36 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas sembilan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki, akhir tahun lalu.
Tertuduh, Retna Velu, 25, dikenakan hukuman berkenaan selepas kekal mengaku bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan semula dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ho Kwong Chin.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tangkap 3 April lalu.
Pada 21 Mei lalu, Retna turut dikenakan penjara 11 tahun dari tarikh tangkap yang sama dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang yang berlainan bagi kesalahan serupa membabitkan dua kanak-kanak lelaki.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon agar tertuduh diberikan hukuman berat dengan mengambil kira tahap keseriusan jenayah yang dilakukan dan kepentingan awam.
Retna yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah memberikan hukuman yang ringan.
Prosiding itu turut dihadiri peguam pemerhati bagi pihak pengadu dan Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor iaitu S. Kirthen serta S. Premila.
Mengikut pertuduhan, Retna didakwa melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki berumur antara 8 hingga 13 tahun di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves antara November 2025 hingga Mac 2026.
Bagi pertuduhan amang seksual fizikal, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan maksimum 20 tahun dan sebatan.
Bagi pertuduhan amang seksual bukan fizikal, pemuda itu didakwa di bawah Seksyen 15(a)(i) dan 15(a)(ii) akta sama yang memperuntukkan maksimum 10 tahun penjara atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, perbuatan itu terbongkar selepas beberapa penghuni pusat jagaan kanak-kanak itu mendedahkan kepada Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor mengatakan menjadi mangsa amang seksual.
Siasatan mendapati tertuduh melakukan perbuatan tersebut dalam beberapa kejadian berasingan di bilik, tandas dan dapur, kebanyakannya selepas mangsa dikejutkan daripada tidur.
Mangsa juga diarahkan merahsiakan kejadian tersebut dan tidak menceritakannya kepada sesiapa kerana takut dimarahi atau dipukul tertuduh.
Pemeriksaan di Hospital Selayang kemudian mendapati terdapat kesan kecederaan serta koyakan lama dan baharu di dubur beberapa mangsa sebelum tertuduh ditahan polis pada 3 April lalu bagi membantu siasatan.-UTUSAN










