AirAsia X nafi operasi AirAsia Filipina digantung - Utusan Malaysia

AirAsia X nafi operasi AirAsia Filipina digantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia X menafikan laporan media baru-baru ini yang mendakwa operasi AirAsia Filipina digantung.

AirAsia X dalam satu kenyataan berkata, laporan tersebut palsu dan tidak mencerminkan keadaan sebenar perniagaan atau operasi syarikat penerbangan itu.

“Semua penerbangan kekal beroperasi sepenuhnya dengan penerbangan dan perkhidmatan diteruskan seperti yang dijadualkan di seluruh rangkaiannya, tertakluk kepada pertimbangan operasi biasa seperti keadaan cuaca dan faktor piawaian lain yang menjejaskan operasi syarikat penerbangan,” katanya.

Laporan media baru-baru ini menyatakan, AirAsia berhutang dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) sekitar 271.94 juta peso untuk caj navigasi udara, pendaratan, parkir dan perkhidmatan penumpang yang terkumpul dari 2021 hingga Mei 2026.

CAAP masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung laporan itu.

Pengasas Bersama dan Penasihat AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia telah lama memperjuangkan perjalanan mampu milik dan berdiri teguh menentang sebarang perkembangan yang memudaratkan pengguna atau menyekat akses kepada ketersambungan udara.

“AirAsia menerbangkan hampir tujuh juta penumpang di Filipina setiap tahun. Komitmen kami terhadap Filipina adalah mutlak. Kami amat komited dalam melabur di negara itu, rakyatnya dan masa depannya,” katanya.

Tony juga berkata, AirAsia telah memainkan peranan penting dalam mendemokrasikan perjalanan udara selama lebih sedekad.

Ia telah menjadikan penerbangan mampu diakses oleh berjuta-juta rakyat Filipina dan jika bukan kerana AirAsia, rakyat negara itu mungkin tidak berpeluang untuk melakukan perjalanan udara sebelum ini.

“Kami amat komited dalam melabur untuk pembangunan infrastruktur lapangan terbang baharu di seluruh negara, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (MNL) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan-Cebu (CEB).

“Langkah ini akan membuka peluang pertumbuhan yang lebih besar, menambah baik ketersambungan, meningkatkan kecekapan operasi dan membolehkan kami mengurangkan kos dengan lebih banyak lagi,” kata beliau.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu berhasrat menempatkan lebih banyak pesawat untuk beroperasi di Filipina.

“Perkembangan ini akan membolehkan AirAsia Filipina memperluas rangkaiannya, menawarkan tambang yang jauh lebih kompetitif dan terus memberikan nilai yang lebih besar kepada pengembara Filipina,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN