KUD@Putrajaya platform usahawan desa majukan perniagaan

KUD@Putrajaya platform usahawan desa majukan perniagaan

ANWAR Ibrahim bergambar bersama penerima geran pada KUD@Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya adalah platform terbaik bagi usahawan desa mendapat bimbingan kerajaan dan menjadi ruang untuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti serta mengembangkan perniagaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program ini menyasarkan penyertaan bahagian-bahagian daripada kementerian dan agensi yang turut menyediakan program pengukuhan keusahawanan dan pembiayaan kewangan kepada usahawan desa.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penganjuran karnival kali Kesembilan ini memberi impak positif kepada produk keluaran usahawan tempatan.

“Ia bukan sahaja dari segi jumlah jualan, tetapi paling penting dapat memberi persepsi positif bahawa kualiti produk usahawan tempatan khususnya usahawan desa adalah setanding dengan produk yang diimport dari luar negara.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk membentuk semangat keusahawanan yang utuh, bukan sahaja dalam kalangan para usahawan, malahan seramai mungkin rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian KUD @ Putrajaya, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pembentukan masyarakat Malaysia yang berpemikiran keusahawanan merupakan asas dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Katanya, antara usaha kerajaan dalam membantu inisiatif keusahawanan ialah pemberian geran menerusi Program Pensijilan Perniagaan (BEST) khusus bagi pensijilan Halal kepada 204 syarikat penerima berjumlah RM2.8 juta bagi tempoh tahun 2021 sehingga 31 Oktober ini.

Selain itu ialah pemberiaan geran berjumlah RM2.78 juta bagi tempoh sama menerusi Program Sokongan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada 561 orang usahawan desa.

Katanya, ini termasuk melahirkan usahawan baharu dalam bidang profesional menerusi Program Professional Financing Scheme (ProSPEC) MARA dengan 117 syarikat berjaya terbentuk yang memberi peluang pekerjaan kepada 538 pekerja rakyat tempatan.

Ia melibatkan jualan terkumpul keseluruhan syarikat sebanyak RM162 juta dari tahun 2021 sehingga kini.

“Bagi merancakkan program kali ini, seramai lebih 800 usahawan desa yang terdiri daripada pelbagai kategori produk dan perkhidmatan menjadi fokus utama pelaksanaan KUD @ Putrajaya.

“Ia seterusnya menyasarkan transaksi jualan sehingga RM10 juta yang meliputi jualan tunai, padanan perniagaan dan tempahan serta dapat menarik penyertaan sehingga 1 juta pengunjung sepanjang program berlangsung,” katanya.

Pelaksanaan Program KUD @ Putrajaya ini juga dimeriahkan lagi dengan penggunaan kupon penggalak jualan yang keseluruhannya bernilai sehingga RM200,000 yang diberikan secara percuma kepada semua pengunjung untuk memeriahkan jualan usahawan pada karnival ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya