Ketua pengarah agensi penguat kuasa hadir beri keterangan

Ketua pengarah agensi penguat kuasa hadir beri keterangan

INDIVIDU itu dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung dakwaan gangguan seksual di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. - UTUSAN/ MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah sebuah agensi penguat kuasa difahamkan sudah tampil memberi keterangan kepada pihak polis berhubung dakwaan kes gangguan seksual, kira-kira pukul 2.00 petang tadi.

Individu itu dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung dakwaan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, pengamal media yang berkumpul di luar IPD Putrajaya sejak pukul 1.50 petang tadi tidak sempat merakam sebarang kehadiran kenderaan yang membawa ketua pengarah berkenaan.

Ketika ini, tiada sebarang rakaman gambar atau video berjaya diambil berhubung kehadiran ketua pengarah itu ke IPD Putrajaya.

Lebih 15 pengamal media kini masih menunggu sebarang pergerakan keluar kenderaan yang membawa individu berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan pegawai kanan itu akan diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Media sebelum ini melaporkan, Unit Komunikasi Korporat agensi itu memaklumkan, isu berkenaan adalah bersifat peribadi dengan motif tertentu.

Semalam, PDRM mengesahkan sedang menjalankan siasatan membabitkan dakwaan kes gangguan seksual oleh pegawai kanan berkenaan terhadap seorang wanita.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sebelum itu, tular paparan laporan polis oleh seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang juga perunding kewangan mendakwa pegawai terbabit mengganggunya di WhatsApp sejak tahun lalu.

Berdasarkan laporan polis yang tular itu, wanita terbabit mendakwa pegawai terbabit mengganggu dengan perkongsian video dan perbualan lucah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya