KUALA LUMPUR: Kedudukan tiga daripada empat ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri telah ditukar di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di aplikasi X, hari ini.
“Tiga MP (ahli Parlimen) Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dipindahkan ke belakang YB Muar (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman),” katanya.
Sebelum ini Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilapor menerima permohonan empat ahli Parlimen berkenaan untuk menukar kedudukan kerusi di Dewan Rakyat.
Permohonan tersebut dibuat Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli). – UTUSAN










