PETALING JAYA: Tiga buah kereta musnah terbakar dalam kejadian di kawasan parkir sebuah pasar raya di Jalan Pandan Prima, Dataran Pandan Prima, Ampang Jaya malam ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pada 8.27 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah bersama bantuan BBP Ampang bergegas ke lokasi dan tiba tujuh minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi mendapati kebakaran membabitkan tiga buah kenderaan yang berada di kawasan parkir.
“Sebuah Toyota Vellfire musnah sepenuhnya manakala sebuah BMW dan sebuah Honda masing-masing mengalami kemusnahan kira-kira 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada 8.43 malam dan tidak membabitkan sebarang mangsa.
“Operasi pemadaman dijalankan oleh 14 anggota bomba menggunakan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT).
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.- UTUSAN









