Kerajaan perlu wujudkan semula program sarapan untuk murid sekolah rendah  - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu wujudkan semula program sarapan untuk murid sekolah rendah 

Sarapan murid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Sarapan Pagi (PSP) percuma untuk murid sekolah rendah perlu diwujudkan semula berikutan peningkatan kes pertumbuhan kanak-kanak yang terbantut.

Penyelidik utama SEANUTS II Malaysia dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Poh Bee Koon berkata, sarapan sebelum masuk ke kelas bukan sahaja bermanfaat, malah ia juga boleh mengelakkan masalah pertumbuhan terbantut.

Menurutnya, pemakanan yang baik di peringkat sekolah rendah boleh membantu perkembangan yang sihat di peringkat remaja. 

“Sekarang ini, kebanyakan murid sekolah makan kira-kira jam 10 pagi pada waktu rehat, iaitu separuh daripada waktu pelajaran bermula. 

“Namun, semua pihak harus sedar yang pengambilan sarapan ini penting bagi meningkatkan prestasi  yang lebih baik dalam ujian kognitif. Secara amnya, kanak-kanak yang bersarapan ini akan lebih fokus dalam pelajaran dan juga peperiksaan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mendedahkan sekurang-kurangnya 30 peratus kanak-kanak mengalami pertumbuhan yang terbantut khususnya bagi golongan miskin, dan jumlah itu meningkat daripada 17.1 peratus pada 2015 kepada 21.2 peratus pada 2022. 

Bagaimanapun, sebelum ini, kerajaan telah memulakan Program Sarapan Pagi (PSP) untuk sekolah rendah pada 2019, namun langkah tersebut tidak diteruskan kerana membabitkan peruntukan antara RM800 juta hingga RM1.67 bilion.

Program tersebut melibatkan dua mekanisme  bagi kombinasi makanan bermasak dan buah-buahan serta 10 minit bagi produk minuman tenusu, bijirin, roti dan telur rebus.

Dalam pada itu, Bee Koon yang mengetuai penyelidikan serantau ke atas 14,000 kanak-kanak berumur enam bulan hingga 12 tahun dua tahun lalu berkata, Malaysia mengalami kekurangan zat makanan  iaitu vitamin dan mineral, dan obesiti.

Kajian itu juga mendedahkan kanak-kanak mengalami pertumbuhan terbantut dan anemia, sementara masalah berat berlebihan atau obesiti berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang lebih berusia. 

Sementara itu, jurucakap aktivis kanak-kanak daripada badan bukan kerajaan (NGO) Voice of the Children, Datuk Dr. Hartini Zainudin berkata, kerajaan perlu menjalankan pemeriksaan pemakanan secara berkala di sekolah bagi mengenal pasti kanak-kanak berisiko supaya intervensi tepat pada masanya dapat dijalankan.

Sarapan murid
HARTINI ZAINUDIN

Jelasnya, Kementerian Pendidikan perlu bekerjasama dengan industri makanan, terutamanya pembekal susu untuk memastikan susu dapat diberikan kepada kanak-kanak bagi menyokong pertumbuhan mereka. 

“Usaha ini perlu melibatkan sektor swasta supaya mereka boleh menyediakan sumber dan kepakaran tambahan untuk menyokong inisiatif pemakanan,” ujarnya.

Sejak tahun 1983, kerajaan telah melaksanakan Program Susu Sekolah bagi memastikan keperluan nutrisi dipenuhi terutamanya pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Dutch Lady Milk Industries Berhad, sebelum ini menjadi salah satu pembekal susu terbesar di bawah program itu, telah membekalkan 185 juta kotak susu UHT ke sekolah sejak 2011.

Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Berhad, Ramjeet Kaur Virik memaklumkan, syarikatnya dipilih kerana susu kotak yang dibekalkan untuk kanak-kanak sekolah rendah diperkaya dan memenuhi cadangan pemakanan.

Beliau menjangkakan, hampir 14 juta pek produk susu akan dibekalkan untuk murid sekolah di seluruh negara menjelang 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya