Kerajaan perlu pinda segera AUKU - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu pinda segera AUKU

KPT sedang mempertimbangkan perubahan di bawah Seksyen 15 AUKU dengan membenarkan pelajar berpolitik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu meminda segera Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dengan memfokuskan kepada beberapa seksyen, bukannya sekadar memberikan kenyataan demi kenyataan yang seakan-akan untuk ‘membeli jiwa’ pelajar.

Ini selepas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang berhubung cada­ngan pindaan dua peruntukan di bawah AUKU 1971 pada sidang Parlimen hujung tahun ini.

Namun sehingga kini cada­ngan itu seperti tiada perkembangan.

Jawatankuasa Keselamatan, Undang-Undang dan Integriti, Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM), Mohd. Azrhul Niezam berkata, pindaan dua peruntukan di bawah AUKU 1971 perlu fokus kepada Seksyen 15 dan 16 iaitu peruntukan yang berkaitan dengan pelajar.

Menurut beliau, pindaan itu perlu meletakkan dua ke­utamaan iaitu pemerkasaan mahasiswa dan reformasi tata kelola universiti.

Katanya, pindaan yang merujuk kepada pemerkasaan mahasiswa sekurang-kurangnya perlu mengiktiraf dan mengins­titusikan Kesatuan Mahasiswa serta Majlis Perundingan Mahasiswa Kebangsaan.

“Kedua-dua badan ini perlu dijadikan rakan setara kepada pentadbiran bagi memastikan pembangunan potensi mahasiswa menjadi lebih organik dan berkesan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mohd. Azrhul berkata, hal tadbir urus universiti tidak perlu melibatkan ahli politik dan sebarang pelantikan jawatan penting dalam pentadbiran universiti juga seharusnya berpijak pada amalan meritokrasi dan bukannya kepentingan politik semata-mata.

“Cadangan membenarkan parti politik ke dalam kampus bukanlah hasrat nombor satu mahasiswa tetapi perlu diberi keutamaan kepada konsep kesatuan dalam aktivisme mahasiswa dan tata kelola yang baik dalam pentadbiran universiti,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nur Nazirah Abdullah berkata, pindaan perlu dilakukan pada bahagian 15A iaitu berkenaan pelajar atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar dilarang memungut wang.

Katanya, ini adalah untuk memberikan kuasa pengurusan wang kepada mahasiswa sebagaimana agenda pemerkasaan mahasiswa yang difikirkan oleh Menteri untuk menjadikan mahasiswa bersifat berdikari dan mampu menjadi matang.

“Saya yakin, mahasiswa hari ini sudah berfikiran terbuka dan perlunya ada pendidikan sejak awal tentang bahayanya korupsi dalam sistem pentadbiran di universiti dan negara sendiri. Ini adalah satu praktikal yang baik kepada golongan mahasiswa sendiri,” katanya.

Nur Nazirah berkata, pindaan pada bahagian 16 ber­kenaan tatatertib pelajar juga perlu dilakukan di mana tidak dinyatakan secara jelas tentang pelantikan wakil pelajar sebagai individu yang mewakili pembuatan keputusan dan perbincangan mengenai tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap seseorang pelajar.

“Secara jelasnya, tujuan penglibatan wakil pelajar sebagai jawatankuasa tatatertib universiti adalah sebagai ‘check and balance’ kepada pelajar yang disabitkan dengan kesalahan sesuatu di bawah tindakan tatatertib,” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin berkata, AUKU 1971 perlu diadaptasikan dalam semua MPP Universiti.

Katanya, hal ini berdasarkan perubahan dalam kelulusan aktiviti dan kewangan yang dipinda pada 2019, di mana lima tahun sudah berlalu dan ia me­nunjukkan perbezaan dalam suasana dan kedudukan semasa.

“Ini turut membuktikan hasrat mahasiswa kini untuk memiliki lebih banyak kuasa dan kebebasan menjelajah melalui kelulusan aktiviti dan kewa­ngan,” katanya.

Katanya, pindaan itu perlu dilakukan tetapi dengan bimbi­ngan pihak universiti yang lebih berpengalaman selain sistem dan perlembagaan AUKU 1971 yang berbeza di setiap universiti.

“Tindakan KPT ini adalah gerakan yang positif bagi menjamin peribadi dan ‘soft skill’ yang baik dalam kalangan mahasiswa namun perlu dikaji semula kerana mahasiswa masih dalam proses pembelajaran dan tujuan utama universiti juga untuk memberikan pendidikan yang berkualiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya