Keputusan Muhyiddin peroleh pasport 29 November ini

Keputusan Muhyiddin peroleh pasport 29 November ini

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin layak mendapatkan semula pasportnya secara kekal kerana tiada sebarang bukti yang menunjukkan beliau mempunyai potensi untuk melarikan diri dan tidak pernah gagal menghadirkan diri pada setiap prosiding mahkamah.

Selain itu, selepas dituduh di mahkamah, terdapat perubahan material yang boleh memberi kesan terhadap kes yang masih lagi dihadapi oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Peguam, Datuk K. Kumaraendran berkata, Muhyiddin juga telah mengemukakan wang jamin RM2 juta dengan dua penjamin.

“Anak guam saya memegang beberapa jawatan penting di negara ini. Beliau merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Bersatu. Beliau juga mempunyai aset di Malaysia jadi tiada sebab untuk pasport beliau tidak boleh dikembalikan secara kekal,” kata Kumaraendran.

Sementara itu, seorang lagi peguam bela Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad berkata, tiga pertuduhan yang masih dihadapi anak guamnya mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 tidak mampu dipertahankan selepas empat pertuduhan predikat dibatalkan oleh mahkamah pada 15 Ogos lalu.

Pada tarikh tersebut, Mahkamah Tinggi di sini telah melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta selepas membenarkan permohonannya.

“AMLA merupakan kesalahan rentetan daripada pertuduhan predikat, jadi ia perlu ada kesalahan predikat. Sekiranya pertuduhan predikat tidak wujud, jadi tidak boleh ala pertuduhan AMLA. Dalam kes ini, pertuduhan AMLA tidak boleh berdiri dengan sendiri dan pertuduhan predikat juga tidak wujud,” kata peguam itu.

Hujah tersebut dibuat pada prosiding permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan semula pasportnya secara kekal dan tanpa syarat di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Permohonan tersebut difailkan Muhyiddin pada 16 Oktober lalu.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 29 November ini untuk keputusan permohonan tersebut.

Terdahulu, ketika membantah terhadap permohonan tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menyatakan, Muhyiddin masih mempunyai tiga pertuduhan di mahkamah.

Tiga pertuduhan tersebut adalah membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa). Pertuduhan-pertuduhan ini masih belum dibicarakan.

Tambahnya, Muhyiddin boleh memohon pasportnya pada bila-bila masa jika diperlukan.

Selain itu, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Lim Wai Keong berkata, sekiranya permohonan tersebut dibenarkan, ia seakan satu ejekan kepada sistem keadilan jenayah kerana tujuan utama Muhyiddin memohon pasportnya adalah untuk pergi bercuti bersama keluarga.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan, Muhyiddin memohon mendapatkan semula pasport bagi membolehkan beliau bercuti bersama keluarga di luar negara kerana ia merupakan satu kebiasaan buatnya sekeluarga untuk bercuti selama sebulan setiap tahun.

Katanya, percutian itu penting bagi membolehkan masa diluangkan bersama kerana dirinya dan keluarga amat tertekan pada tahun ini.

Selain itu, Muhyiddin turut memberikan alasan hendak ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Mount Elizabeth yang didakwa mempunyai teknologi canggih bagi membolehkannya membuat pemeriksaan jantung tanpa ujian stres jantung atas ‘treadmill’ atau pengisar injakan.

Ujarnya, beliau pernah menjalani pemeriksaan serupa di Klinik Mayo di Amerika Syarikat (AS) namun memilih untuk membuat pemeriksaan tersebut di Singapura. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya