KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) masih mengkaji keperluan untuk melesenkan atau mendaftarkan penyedia platform besar seperti Google, Meta dan TikTok.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching berkata, kajian itu merangkumi pelbagai perkara termasuk implikasi dari sudut dasar terhadap perkhidmatan, aspek pelaburan dan perdagangan, kaedah percukaian serta aspek keselamatan pengguna di Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, satu jawatankuasa turut dibentuk bagi meneroka dan memperinci perkara melibatkan perundangan seterusnya mencari jalan terbaik untuk mendapatkan hasil positif kepada semua pihak termasuk industri media tempatan.
“Pada masa ini belum ada sebarang keputusan atau pendirian yang dibuat oleh kerajaan berhubung perkara ini, bagaimanapun usaha-usaha awal telah dilaksanakan melalui beberapa siri libat urus.
“Ini bertujuan untuk membincangkan dan mendapatkan input dan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh serta pihak berkepentingan di Malaysia berhubung perkara ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid [PN-Kuala Kangsar] meminta kerajaan menyatakan mekanisme yang dipertimbang bagi melesenkan penyedia platform besar yang menjana pendapatan menerusi kandungan daripada organisasi media tempatan.
Sementara itu, Nie Chieng berkata, objektif utama langkah pelesenan tersebut bukan untuk menjana keuntungan.
Katanya, kementerian berpendirian organisasi media tempatan boleh memulakan perbincangan dengan penyedia platform besar berkenaan untuk mendapatkan formula yang sesuai supaya pendapatan bagi pengiklanan itu dapat dikongsikan antara dua organisasi tersebut seperti yang diguna pakai di Taiwan.
Katanya, kerajaan bersedia membantu kelancaran perbincangan itu dan sekiranya Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia dapat diluluskan tahun depan, perkara itu antara yang boleh diteliti Majlis Media untuk memastikan perkongsian keuntungan daripada kandungan yang diwujudkan, dibuat dan dicipta oleh organisasi media tempatan tersebut.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan belum membuat keputusan berhubung langkah menamatkan perkhidmatan beli-belah dalam talian menerusi TikTok Shop seperti Indonesia bagi melindungi perniagaan tempatan.
“Saya sendiri telah mengadakan mesyuarat dengan TikTok untuk tahu bagaimana TikTok Shop beroperasi di Malaysia. Hasil daripada mesyuarat tersebut menunjukkan bahawa 96 peratus penjual di TikTok Shop adalah dari Malaysia.
“Hanya empat peratus dari luar negara dan bukan sahaja TikTok Shop atau e-vendor itu mendapat pendapatan tetapi content creator atau affiliate yang membantu suatu kedai mempromosi produk mereka, mereka juga dapat keuntungan daripada konten yang dicipta,” katanya. – UTUSAN










