DOSM perkenal PAKW bagi kumpulan berkeperluan khas - Utusan Malaysia

DOSM perkenal PAKW bagi kumpulan berkeperluan khas

MOHD Uzir Mahidin menyampaikan taklimat pada program Simfoni Data & Media: Wacana Khas Bersama Ketua Perangkawan Malaysia dan Pelancaran Produk baharu DOSM 2026 di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Blok C7, Kompleks C Putrajaya, di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membangunkan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bagi kumpulan berkeperluan khas yang meliputi orang kelainan upaya (OKU), pesakit dan warga emas dengan mengambil kira keperluan khusus kumpulan tersebut.

Kemaskini PAKW bagi kumpulan berkeperluan khas ini dijangka akan dimuatkan ke dalam Kalkulator MyPAKW pada bulan Ogos 2026 melalui portal web mypakw.dosm.gov.my serta aplikasi mudah alih MyPAKW.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, inisiatif ini merupakan usaha berterusan DOSM dalam memperkukuh penyediaan statistik rasmi yang lebih inklusif serta menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti bagi meningkatkan kesejahteraan kumpulan berkeperluan khas dan keluarga.

“Pembangunan dan pengemaskinian PAKW bagi kumpulan berkeperluan khas bertujuan mengenal pasti kos sara hidup sebenar keluarga yang mempunyai ahli keluarga berkeperluan khas dengan mengambil kira keperluan perbelanjaan tambahan yang diperlukan bagi mencapai taraf kehidupan yang wajar.

“Inisiatif ini merangkumi orang kelainan upaya (OKU) mengikut tujuh kategori ketidakupayaan iaitu ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan fizikal, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan pembelajaran, ketidakupayaan mental serta pelbagai ketidakupayaan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, ianya turut meliputi pesakit yang memerlukan penjagaan di rumah sama ada terlantar atau tidak terlantar, serta warga emas yang memerlukan penjagaan khusus.

“PAKW bagi kumpulan berkeperluan khas dibangunkan dengan mengenal pasti komponen perbelanjaan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan kehidupan wajar mengikut kategori kumpulan tersebut. Selain perbelanjaan asas seperti makanan, perumahan, utiliti dan pengangkutan, turut diambil kira keperluan khusus yang lazim ditanggung oleh keluarga yang mempunyai ahli keluarga berkeperluan khas.

“Antaranya termasuk perbelanjaan bagi alat bantuan dan peralatan sokongan, kos rawatan, ubat-ubatan, terapi, perkhidmatan penjagaan serta peranti yang menyokong aktiviti harian dan komunikasi.

“Bagi pesakit yang memerlukan penjagaan di rumah, turut diambil kira keperluan pemakanan khas seperti susu formula perubatan serta keperluan berkaitan penjagaan harian. Pendekatan ini memastikan PAKW yang dibangunkan lebih mencerminkan keperluan sebenar kumpulan berkeperluan khas serta kos sara hidup yang ditanggung oleh keluarga,” katanya.

Menurut beliau, PAKW kumpulan berkeperluan khas menyediakan penanda aras kos sara hidup yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat bagi memahami keperluan perbelanjaan minimum untuk kehidupan wajar mengikut keadaan isi rumah masing-masing.

“Pada masa yang sama, ia menjadi rujukan penting kepada pembuat dasar dalam merangka, menyelaras dan menilai dasar serta program perlindungan sosial yang lebih bersasar, termasuk bantuan kewangan, subsidi, sokongan penjagaan dan intervensi sosial.

“Pembangunan PAKW bagi kumpulan berkeperluan khas dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara DOSM dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kerjasama ini membolehkan komponen perbelanjaan yang dikenal pasti mengambil kira keperluan sebenar kumpulan berkeperluan khas berdasarkan kepakaran teknikal, amalan semasa serta keperluan penjagaan mengikut kategori kumpulan tersebut. Pendekatan kolaboratif ini memastikan PAKW yang dibangunkan adalah relevan, komprehensif dan boleh dipercayai sebagai rujukan dalam menyokong penggubalan dasar dan perancangan program yang lebih berkesan,” katanya.

DOSM akan terus memperkukuh pembangunan statistik sosial yang inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat.

PAKW bagi kumpulan berkeperluan khas dikemas kini selaras dengan perubahan kos sara hidup, perkembangan sosioekonomi dan keperluan semasa bagi memastikan statistik yang disediakan kekal relevan, berkualiti dan menyokong pembangunan dasar yang lebih inklusif serta berimpak tinggi bagi meningkatkan kesejahteraan kumpulan berkeperluan khas di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN