Lebih 100 ditahan sertai bantahan anti-NATO di Turkiye

Lebih 100 ditahan sertai bantahan anti-NATO di Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Pihak berkuasa Turkiye menahan lebih 100 individu yang menyertai perarakan bantahan anti-Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dianjurkan oleh Parti Komunis Turkiye (TKP) pada Ahad, menjelang sidang kemuncak pakatan itu di Ankara minggu depan, menurut kenyataan parti berkenaan.

Turkiye akan menjadi tuan rumah kepada pemimpin dari 32 negara anggota NATO serta pegawai dari negara rakan pakatan itu dalam sidang kemuncak yang dijadual berlangsung pada Selasa dan Rabu di Ankara.

Menjelang persidangan itu, pihak berkuasa memperketat langkah keselamatan di seluruh ibu negara dengan melarang sebarang demonstrasi, memasang sekatan di sebahagian besar kawasan bandar serta menutup beberapa jalan utama.

Dalam satu kenyataan, TKP memaklumkan pihaknya menganjurkan perarakan bantahan di Dataran Kizilay, Ankara, sambil mendakwa lebih 100 ahli parti, termasuk beberapa pemimpinnya, telah ditahan.

Rakaman di lokasi menunjukkan penunjuk perasaan mengibarkan bendera sambil melaungkan slogan seperti ‘NATO pembunuh’, ‘keluar dari negara kami’ dan ‘tiada laluan untuk NATO’, sebelum polis antirusuhan menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai.

Dalam satu lagi bantahan anjuran TKP, ratusan peserta berarak dari Dataran Taksim ke Dolmabahce di Istanbul.

Dua lagi bantahan berasingan turut dianjurkan oleh kumpulan berhaluan kiri di daerah Kadikoy. Walaupun polis mengawal ketat kawasan berkenaan, tiada sebarang pertempuran atau insiden keganasan dilaporkan sepanjang demonstrasi di Istanbul.

“Kami berhimpun hari ini di pelbagai lokasi di seluruh Turkiye untuk membantah NATO.

“Kami telah berkata bahawa kami tidak akan menyerahkan Ankara kepada penyokong NATO dan tidak akan membiarkan Ankara terus berdiam diri. Kami telah menunaikan janji itu,” kata Setiausaha Agung TKP, Kemal Okuyan di Istanbul dipetik Reuters.

Kerajaan Turkiye setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai bantahan atau penahanan berkenaan.

Bulan lalu, pihak berkuasa menahan 103 individu dalam siri serbuan antikeganasan di Ankara yang menyaksikan keseluruhan 225 orang ditahan.

Secara berasingan, media tempatan melaporkan 39 lagi individu, termasuk wartawan daripada media bebas, aktivis dan ahli akademik, turut ditahan dalam operasi antikeganasan di seluruh negara pada Ahad.

Pengerusi bersama Parti DEM yang pro-Kurdish, Tuncer Bakirhan serta pengerusi yang dilantik mahkamah bagi Parti Rakyat Republikan (CHP), Kemal Kilicdaroglu mengkritik tindakan penahanan itu sebagai langkah yang tidak boleh diterima kerana menjejaskan hak asasi rakyat menjelang sidang kemuncak NATO.

“Negara ini telah bertukar menjadi sebuah pusat tahanan dengan menggunakan sidang kemuncak NATO sebagai alasan.

“Kita kini melalui hari-hari yang seolah-olah berada di bawah pemerintahan darurat yang tidak diisytiharkan,” kata Bakirhan menerusi platform X.

Sebelum ini, pihak pendakwa raya Turkiye memaklumkan operasi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha mengesan aktiviti kumpulan militan, tanpa mengaitkannya dengan sidang kemuncak NATO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN