KOTA BHARU: Kelantan akan mengeluarkan jenama beras sendiri iaitu Beras Agro Darul Naim bagi memenuhi permintaan pengguna di negeri ini tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, sehubungan itu kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan khas pada tahun hadapan bagi membangunkan kilang padi dan beras.
“Pada 2024, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan khas untuk membangunkan kilang padi dan beras di Meranti, Pasir Mas.
“Insya- Allah, di situ kita akan keluarkan beras tempatan yang mengguna jenama sendiri iaitu Kilang padi dan beras Agro Darul Naim,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Azhar Salleh (Pas- Pulai Condong) berkait cadangan kerajaan negeri untuk mengeluarkan beras jenama sendiri pada Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Tuan Mohd. Saripudin memberitahu, kerajaan negeri turut mengambil beberapa langkah dalam menghadapi isu dan cabaran dalam keterjaminan makanan rakyat di negeri ini termasuk menubuhkan Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan Negeri Kelantan.
Katanya, jawatankuasa berkenaan melibatkan pelbagai agensi termasuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta wakil dari Institusi Pendidikan Tinggi bagi menyelaras gerak kerja dan perancangan projek serta memperhalusi isu-isu berkaitan keterjaminan makanan.
“Selain itu, kita juga memberi insentif secara bersasar dan selektif kepada golongan sasar serta pembangunan ladang contoh untuk petani bagi menarik minat kepada orang awam untuk menyertai sektor pertanian.
“Jabatan Pertanian juga telah melaksanakan aplikasi teknologi di lapangan melalui kaedah participatory observation serta menjayakan Kempen Tanam Nyor Alfalah ke-13 melibatkan 1,300 penerima,” ujarnya. – UTUSAN










